NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat terbuka kepada Ahli AMANAH


MEMBACA
dan menonton pelbagai video pendek seharian di medsos dalam kesibukan berprogram hari ini seakan meruak kembali zaman pra penubuhan parti PAN, serpihan kepada PAS yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Hebat mereka berpencak dan bergaduh di pelbagai negeri, memaki hamun pemimpin sendiri, menakir tiang bendera yang mereka sendiri naikkan, ada yang disailang oleh rakan parti komponen yang lain, cantas mencantas sesama sendiri.

Seolah hukum karma yang sedang membaham tengkuk mereka sendiri, diikuti ejekan langit akibat perangai hodoh mereka berorganisasi dalam jemaah PAS dahulu.

Bagi generasi baru yang mula berkecimpung dengan medan siasah, mungkin tidak menyedari asal muasal parti yang didokong oleh DAP ini, pelbagai ucapan muluk-muluk cuba menjadi “asap palsu” untuk menutup isu ‘power struggle’ di dalam PAN yang terkini.

Bau hanyir tak mampu ditutup dengan tudung saji lagi, ianya merebak dengan pantas sehingga PAN menjadi bahan ketawa peminat-peminat politik. Minggu lepas tersebar Husam Musa akan bertanding di Gombak, fokus menawan Kelantan dalam PRU 15 dalam kempen “Save Kelantan” ditertawakan, cukup kontradik!

Tengah hari tadi Pengerusi PAN Kedah dipecat serta merta daripada parti itu setelah berani menyanggah DAP dalam isu agihan kerusi di negeri Jelapang padi itu. Sosok pemimpin PAN yang mengasaskan PASMA itu seolah terlupa bahawa DAP adalah abang besar yang membidani PAN tujuh tahun lepas.

DAP kali ini cukup berstrategi membidak catur calon-calon daripada kalangan orang Melayu, sasaran mereka untuk membina koridor Barat meliputi Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

PAN Kelantan sedak bergasak sehingga isu perpuakan tak mampu dibendung lagi. Anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, iaitu Nik Omar telah dibawa lari oleh PKR tanpa berunding dengan pemimpin PAN.

Seorang bekas pemimpin PAN telah diberikan kerusi di Grik, Perak oleh DAP, segalanya berantakan menjelang penamaan calon. Di Pasir Puteh, bendera PAN diturunkan oleh petugas parti apabila tak bersetuju dengan calon pilihan Mohd Sabu.

Di Perak, pertelagahan kerusi di Dun Changkat Jong, seorang kawan lamaku telah meletakkan jawatan sebagai pensyarah UTP untuk bertanding, namun DAP telah mengistiharkan kerusi Changkat Jong adalah milik mereka.

Bahtera PAN tetap tak akan sama dengan bahtera PAS yang didokong oleh ummat yang merindui tertegaknya Islam di tanah air ini, bahtera jemaah PAS yang terpandu dengan ulama yang kawan-kawan Pan semasa berada didalam PAS cuba untuk menstruktur semula Majlis Syura Ulama (jangan buat lupa apa perancangan 2015 team dikhayalkan progresif ini, namun disikapi dengan bijak oleh Tuan Guru Presiden dalam mesyuarat terakhir sebelum Muktamar di Kuala Selangor).

Falasi yang cuba dilontar kepada Tuan Guru Presiden PAS sebagai diktator, mengkhianati pemuafakatan politik dan pelbagai tuduhan lagi oleh beberapa pemimpin kanan Pan yang juga tebal dengan sentimen anti tuan guru ini tidak sesekali melencongkan akal waras kami ahli-ahli PAS yang cinta akan perjuangan Islam.

Khabarnya, PAN menghantar saudagar lembu korban untuk menentang Ayah Chik di Parlimen Marang. Begitu sinis sosok itu meremehkan Tuan Guru Presiden kami dan kita akan lihat nanti natijahnya pada 19 November ini.

Sebelum PRU 14, anda dan kawan-kawan “so called profesional “yang mentertawakan kenyataan Presiden PAS bahawa parti Islam ini akan menjadi king maker dalam politik Malaysia.

Namun hari ini mulut kalian terkunci dan tersipu malu, PAS menjadi rakan kongsi kerajaan Persekutuan dan memimpin tiga buah kerajaan Negeri. Bagi aku, jangan main-main dengan sang ulama pemimpin yang berteleku disejadah malam dan mulutnya sentiasa mengumam kalam suci Tuhan.

Pergolakan PAS sebelum dan selepas muktamar di Kuala Selangor 2015 telah menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahli, bermula dengan 18 pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke-61 maka mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan menjenamakan sebagai Parti Amanah Negara (PAN).

Kemasukan secara en bloc teman-teman NGO berDNA IRC, JIM, IKRAM, juga ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak menggegarkan PAS pada awalnya.

Kemenangan PH dalam PRU 14, 9 Mei 2018 juga seolah memberikan nyawa kepada mereka, teringat aku dengan sikap membusung dada pemimpin Pan, bukan sekadar di media sosial, juga dialam nyata.

Selama 22 bulan mereka ditampuk dan koridor kuasa, masyarakat Islam negara ini melihat betapa lemahnya pemimpin Pan menjaga Islam dan ummat Islam. Mereka seolah “rubber stamp house” kepada pemimpin-pemimpin DAP, pola simbiosis ini difahami kerana latar sejarah penubuhan mereka sejak 2015.

Sejak mereka berkuasa lagi, disedari sedikit demi sedikit bekas penyokong PAS dalam Pan mula tawaquf dalam aktiviti kerajaan PH dan mula bertanya khabar untuk pulang bersama PAS.

Ramai yang tersedar budaya berorganisasi PAS tidak sama dengan mana-mana parti, PAS bukan sekadar memburu kuasa untuk melaksana dan menjaga Islam namun program amal tarbawi yang berjalan kepada ahli-ahli mereka.

PAS adalah wadah ummat yang cintakan Islam, ahli dan pimpinannya berhujan panas dan berembun untuk menjayakan setiap program dan agenda jamaah.

Ayuh kawan-kawanku ahli PAN semua, pintu harakatul ummah ini terbuka buatmu, kami tak menutup pintu buat kalian. Jangan merasa malu dan tertampar kecewa melihat tingkah pemimpin kalian.

Pintu markas tarbiah tetap ceria dengan program usrah, iftar jamaie, liqa fikri dan pelbagai program. Usah terkeliru memilih kerana kehidupan ini sangat singkat, lihat juga bagaimana penghujung akhir kehidupan pimpinan PAS yang istiqomah mengibar panji perjuangan, indah kan?


DR RIDUAN MOHAMAD NOR
AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo