KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (MS) telah diberikan amaran oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk memperbaiki prestasi mereka pada Sukan SEA Kemboja tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata dua sukan itu yang menawarkan jumlah pingat emas yang tinggi, merupakan punca utama kontinjen Malaysia menamatkan Sukan SEA Hanoi pada Mei pada kedudukan keenam dengan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Dan apa yang membuatkan perkara lebih buruk lagi, kontinjen negara telah pun kehilangan 12 pingat emas, sembilan perak dan 24 gangsa yang dimenangi di Hanoi, selepas pihak penganjur Sukan SEA Kemboja mengurangkan acara dipertandingkan pada edisi yang akan berlangsung dari 5-17 Mei 2023.
Mohamad Norza berkata Malaysia akan hilang empat emas acara terjun selepas mengondol kesemua lapan emas di Hanoi, masing-masing dua dalam memanah, menembak, gimrama dan gimnastik.
"Dua persatuan ini perlu mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan yang prestasi dipertingkatkan, jika tidak mereka perlu maklumkan apakah rancangan masa hadapan mereka. Secara realistiknya saya katakan ada peluang untuk olahraga meningkatkan pungutan pingat mereka.
SUKAN-SUKAN SEA (NORZA) 2 KUALA LUMPUR
"Namun buat masa ini, saya tidak nampak perkara yang sama untuk renang. Jadi MS perlu sediakan pelan tindakan yang betul, supaya kita boleh menyediakan diri kita dengan lebih baik untuk Sukan SEA selepas itu (2025), yang akan berlangsung di Thailand.
"Saya berharap, apa sahaja yang kita rancangkan hari ini, kita akan mempunyai keputusan yang lebih baik, terutamanya apabila kita menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2027," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatnkuasa Pemilihan di Wisma MOM di sini hari ini.
Pada Sukan SEA Hanoi, skuad olahraga hanya memperolehi lima emas, tiga perak dan lapan gangsa daripada keseluruhan 47 pingat emas yang ditawarkan, manakala renang hanya membawa pulang satu emas, empat perak dan dua gangsa dari 40 pingat emas ditawarkan, iaitu masing-masing hanya 10.64 peratus dan 2.5 peratus daripada keseluruhan pingat ditawarkan.
Pada edisi di Kemboja, kedua-dua acara sukan itu menjadi sukan penting jika Malaysia mahu memperbaiki kedudukannya, dengan masing-masing mempertandingkan 47 dan 39 pingat emas daripada keseluruhan 608 acara daripada 37 jenis sukan.
Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan Presiden bagi kedua-dua KOM dan MS.
SUKAN-SUKAN SEA (NORGA) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MS perlu mengambil pendekatan baharu dan luar biasa dalam pembangunan perenang, termasuk kerjasama dengan kelab-kelab berbanding hanya dengan persatuan sukan negeri.
"Persatuan-persatuan negeri seperti yang kita maklum, banyak tak berfungsi seperti yang sepatutnya. Jadi mungkin pendekatan menggunakan kelab dan mewujudkan satu saingan yang kompetitif dalam kalangan kelab dan negeri, serta bantuan terus diberi kepada kelab merupakan satu pendekatan yang sedikit berlainan," katanya.
Berkaitan kekurangan pembangunan sukan terjun, yang telah menyebabkan banyak acara di Sukan Malaysia (Sukma) dibatalkan akibat kekurangan jumlah minimum atlet, Ahmad Shapawi berkata sukan terjun memerlukan perhatian khas, kerana ia merupakan satu sukan yang berteknikal tinggi.
"Kita perlukan pendekatan berlainan seperti yang kita lakukan pada 1998. Melalui program Jaya 98, kita mewujudkan pusat-pusat latihan dan meletakkan jurulatih daripada luar, yang lebih mahir kerana pada ketika itu, kita tidak cukup kemampuan (lahirkan penerjun bertaraf antarabangsa).
"Hasil daripada program itu, kita telah melahirkan begitu ramai penerjun tempatan, ada yang jadi jurulatih di pasukan negeri. Kita perlu ambil pendekatan untuk melibatkan jurulatih ini secara langsung dalam program, bagi memastikan masalah kekurangan penerjun dapat diatasi, ini sesuatu yang kita akan bincang dengan MS," katanya.
Bagaimanapun Ahmad Shapawi berkata isu itu juga memerlukan komitmen daripada semua pihak, terutamanya negeri untuk menyediakan kelengkapan asas seperti gim kering, selain daripada kolam terjun dan platform dalam membangunkan penerjun pada peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment