NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Suami tarik balik, isteri mahu teruskan tuntutan cerai

Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah, di sini hari ini meluluskan penarikan balik permohonan perceraian yang dibuat oleh pendakwah bebas, Dr Azahar Yaakub@Ariffin terhadap isterinya, Rifhan Zafirah Mohd.

Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat membuat keputusan itu mengikut Seksyen 95(1) yang membenarkan Azahar, 49, selaku plaintif menarik mana-mana prosiding atau sebahagiannya sebelum penghakiman.

Dalam prosiding itu, Azahar diwakili Peguam Syarie, Zaidi Ibrahim.

Manakala, Rifhan Zafirah, 37, selaku defendan diwakili Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud.

Terdahulu, Wan Mohd Najib mensabitkan berlakunya syiqaq (perkelahian berpanjangan) dalam perkahwinan Azahar dan Rifhan yang berstatus isteri kedua.

Ia berdasarkan laporan keputusan Jawatankuasa Pendamai bertarikh 3 Oktober lalu yang mendapati pasangan terbabit tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat merujuk serta hidup semula sebagai suami isteri.

Zaidi berkata, anak guamnya bagaimanapun memohon untuk menarik balik permohonan cerai yang dikemukakannya selari dengan peruntukan Sekyen 95 (1) Akta 585 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Bagaimanapun, Hazizah membantah permohonan dikemukakan Zaidi dan memohon prosiding diteruskan dengan alasan beliau hanya dimaklumkan mengenai hasrat plaintif oleh peguamnya secara lisan pada jam 9 pagi sebelum prosiding bermula.

Menurut Hazizah, anak guamnya bersetuju untuk meneruskan prosiding kerana tidak wujud lagi perasaan sakinah (tenang dan tenteram), mawaddah (perasaan cinta membara kepada pasangan) dan wa rahmah (kasih sayang terpancar dan sanggup berkorban) dalam perkahwinan.

"Plaintif tidak berupaya dan gagal melindungi perkahwinan poligami dengan defendan.

"Jika diteruskan akan memudaratkan emosi defendan yang disahkan mengalami tekanan, kemurungan dan anxiety' (keresahan) oleh doktor.

"Adanya persetujuan dibuat pada 16 dan 17 Oktober untuk prosiding diteruskan jadi penarikan balik (permohonan) tidak akan meletakkan defendan dalam keadaan lebih baik memandangkan sudah berlaku implikasi terhadap beliau sebagaimana mahkamah memutuskan wujudnya syiqaq," katanya.

Katanya, beliau maklum permohonan lain boleh difailkan jika mahkamah meluluskan penarikan balik oleh plaintif namun namun mahu prosiding diteruskan bagi melindungi kepentingan dan menegakkan keadilan buat anak guamnya.

Justeru, Hazizah memohon plaintif membayar kos prosiding sebanyak RM5,000 kepada anak guamnya.

Sementara itu, Zaidi tidak membantah permohonan dikemukakan oleh pihak defendan namun memohon mahkamah menetapkan kos prosiding munasabah ditaksirkan dengan dirujuk kepada pihak pendaftar.

Wan Mohd Najib kemudiannya memutuskan Rifhan Zafirah untuk mendapatkan kos prosiding yang ditaksirkan di hadapan pendaftar mahkamah.

Beliau membuat keputusan itu mengikut Seksyen 95 (2) yang membolehkan defendan mendapat kos prosiding jika plaintif menarik mana-mana prosiding dibawah subseksyen (1).

Dalam pada itu, Zaidi dan anak guamnya, Azahar enggan mengulas lanjut ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah.

Bagaimanapun, Hazizah ketika ditemui berkata pihaknya memohon prosiding diteruskan kerana ia sudah dipersetujui awal kedua-dua pihak.

"Sebelum mahkamah membuat keputusan, kami mahu mahkamah mendengar pendirian kami supaya ia direkodkan.

"Ini (bantahan penarikan balik permohonan) untuk menjaga nama baik dan maruah anak guam saya termasuk wanita yang menjadi isteri kedua.

"Memandangkan mahkamah sudah putuskan adanya syiqaq jadi kita tunggu arahan selanjutnya daripada klien (anak guam) katanya.

Menurut rekod, Azahar dan Rifhan Zafirah berkahwin pada 1 Januari lalu.

Difahamkan, perkahwinan mereka mendapat restu daripada isteri pertama yang juga seorang pendakwah selebriti.

Azahar bagaimanapun membuat permohonan perceraian pada 23 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Sumber | Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo