NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Strategi baharu selamatkan 27 kerusi kritikal, kata Hamzah


PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) akan menyusun strategi baharu di 27 kerusi kritikal yang diminta oleh PAS supaya tiada pertembungan dengan Umno pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata setiausaha agungnya.

Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan pemimpin PAS

“Saya akan berjumpa dengan mereka bagi menyelesaikan perkara itu. Kita akan menyusun satu strategi yang lain,” katanya menurut Bernama.

FMT hari ini melaporkan seorang pemimpin PAS mendedahkan Bersatu sudah diberitahu supaya tiada pertembungan berlaku di 27 kerusi kritikal dengan Umno pada PRU15 meskipun Muhyiddin Yassin menggelar parti itu sebagai “musuh utama”.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata ia bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

“Walaupun keputusan semalam (13 Okt) menyatakan PAS bersama PN, tetapi masih ada ruang untuk berlakunya pakatan ketika PRU untuk tidak bertembung kerusi.

“Saya pun dah dimaklumkan oleh pimpinan dan perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada PN-Bersatu, PAS mengusahakan untuk mengelakkan bertembung di 27 kerusi berisiko dengan Umno,” katanya.

27 kerusi Parlimen itu melibatkan 20 dimenangi PH susulan pertembungan PAS-Umno, manakala baki tujuh kerusi berisiko jatuh ke tangan PH disebabkan kekalahan tipis gabungan pembangkang itu, pada PRU14.

Zuhdi sebelum ini mencadangkan kerusi terbabit dinamakan “kerusi Muafakat Nasional” bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti besar Melayu itu.

Hamzah berteka-teki

Sementara itu, Hamzah masih berteka-teki mengenai kerusi akan ditandinginya pada PRU15.

Beliau enggan memberi penjelasan ketika ditanya pemberita, sama ada akan bertanding di kerusi Larut yang disandangnya ketika ini.

“You (awak) hendak suruh saya bertanding dekat mana,” katanya ringkas sambil ketawa kecil ketika ditemui selepas menghadiri Program Retreat Media Bersama Klien dan Sahabat Kementerian Dalam Negeri di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Batu Kurau.

Pada Rabu, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu berkata parti itu tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan PAS, sebagai strategi gabungan itu untuk memenangi PRU15.

Pada 23 Sept lalu media melaporkan pengagihan kerusi membabitkan parti komponen PN bagi menghadapi PRU15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan.

Pada PRU14, Hamzah menang di kerusi Parlimen Larut atas tiket BN dalam pertembungan tiga penjuru yang juga melibatkan PAS dan PKR. Beliau kemudian mengambil keputusan keluar Umno menjadi wakil rakyat bebas sebelum menyertai Bersatu.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo