Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. |
JOHOR BAHRU: Lima kerusi Parlimen di Johor membabitkan Pontian, Simpang Renggam, Kota Tinggi, Pagoh dan Mersing bakal menjadi tumpuan utama dalam majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Johor yang dijadualkan 2 November ini.
Sumber BN Johor berkata, senarai calon bagi 26 kerusi Parlimen di negeri itu sudah hampir muktamad dengan hanya beberapa kerusi utama masih dibincangkan dengan teliti.
Katanya, tiga kerusi utama yang masih menjadi perbincangan ialah Parlimen Pontian, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.
"Berdasarkan desas-desus yang hangat diperkatakan, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, ingin bertanding di Parlimen Pontian yang kini disandang Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
"Hasni adalah Ketua UMNO Bahagian Pontian di samping sebahagian akar umbi mahukannya kembali bertanding di situ.
"Kompromi sedang dilakukan supaya Ahmad yang juga Timbalan Ketua Bahagian Pontian, bertanding di Parlimen Simpang Renggam tetapi beliau dikatakan masih ingin menabur bakti di kerusi sama selepas tiga penggal cemerlang di situ.
"Itu sebabnya Hasni yang juga Pengerusi BN Johor, ada menyatakan calon luar mungkin bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Johor.
"Ia antara lain bagi membolehkan sama ada Hasni, Ahmad serta satu atau dua calon bertanding di luar kawasan bahagian mereka, termasuk Parlimen Simpang Renggam atau Tanjung Piai.
"Jika MCA dapat dipujuk melepaskan Parlimen Tanjung Piai untuk bertukar ke Simpang Renggam yang kosong selepas GERAKAN menyertai Perikatan Nasional (PN), ada kemungkinan kompromi dapat dicapai dengan Hasni bertanding di Tanjung Piai, Ahmad kekal di Pontian manakala Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bertanding di Simpang Renggam.
"Kerusi Parlimen Kota Tinggi juga belum dimuktamadkan walaupun nama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berada dalam senarai bertanding di situ kerana ada bantahan dari akar umbi yang mahukan Datuk Halimah Mohamed Saddique kekal di kerusi itu," katanya kepada BH.
Apa yang menarik ialah kemunculan semula tiga pemimpin UMNO Johor.
Menurut sumber, Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dijangka disenaraikan di Parlimen Pagoh bagi menentang Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU14 lalu, Razali tewas kepada Presiden Parti Muda Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di kerusi Parlimen Muar yang ketika itu bertanding atas tiket BERSATU.
Sumber berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Abdul Latif Bandi, turut dijangka bertanding semula, berkemungkinan di Parlimen Mersing.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dikatakan hampir pasti disenaraikan semula di kerusi Parlimen Pulai, selepas tewas kepada Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada PRU14.
"Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan, berkemungkinan diletak di Parlimen Segamat sebagai mengembalikan legasi bekas Presiden MIC, Tan Sri Dr S Subramaniam," katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 60 peratus calon bakal ditampilkan BN Johor untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen pada PRU15 adalah muka baharu.
Perkara itu disahkan oleh Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor manakala agihan kerusi dikatakan menjurus kepada 17 kerusi ditandingi UMNO, lapan buat MCA dan satu kerusi untuk MIC.
Menurut sumber, antara calon muda dan muka baharu yang hampir pasti diturunkan ialah EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang.
"Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmy Abd Latif, juga antara muka baharu dijangka disenaraikan di Parlimen Muar bagi menentang Syed Saddiq yang berkemungkinan mempertahankan kerusi berkenaan.
"Turut mendapat perhatian BN Johor ialah Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM) yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba, Muhammad Syukri Ibrahim.
"Muhammad Syukri mungkin diturunkan sebagai muka baharu di Parlimen Mersing jika pucuk pimpinan berpandangan belum tiba masanya Abdul Latif kembali bertanding," katanya.
Sumber I Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment