Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan |
TENOM: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu hak negeri itu dikembalikan tanpa mengira siapa yang menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November depan.
Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata gabungan itu perlu memenangi kerusi yang diagihkan supaya mempunyai wakil di Parlimen.
"Kita di Sabah tidak peduli siapa Perdana Menteri. Apa yang penting, hak Sabah dikembalikan dan kita dapat pilih pemimpin wakili kita di peringkat Persekutuan.
"Apa yang penting ialah GRS mesti menang (kerusi ditandingi)," katanya pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Tenom di sini, hari ini.
Program dirasmikan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor dan turut dihadiri pemimpin serta penyokong lima parti komponen gabungan itu.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), berkata politik Sabah sudah berubah dan pemimpinnya sedar mereka banyak bermusuh sesama sendiri selama ini.
"Hampir 50 tahun baru kita sedar tetapi biarlah terlewat daripada tiada. Sekarang kita bersatu dalam GRS kerana kita sedar apabila berpecah, kita bazir banyak tenaga, wang dan fikiran untuk saling mencantas.
"Sudah tiba masa kita bersatu di Sabah kerana kalau asyik berpecah, berlawan, lupakan rakyat, diri dan kawan, akibatnya lihat Sabah jadi negeri termiskin," katanya.
Katanya, Sabah ketinggalan berbanding Sarawak dan lebih ketinggalan apabila tidak bersatu berikutan perbezaan politik sejak sekian lama.
Jeffrey berkata, GRS yang menyatukan perjuangan pelbagai parti di Sabah menjadi harapan baharu politik negeri dalam menumpukan perjuangan mengangkat Sabah sebagai negeri berautonomi dan merdeka.
"Mujur kesedaran ini berlaku perlahan-lahan sejak satu dua tahun lalu untuk menyatupadukan kita di Sabah," katanya.
GRS adalah gabungan politik baharu yang diwujudkan secara rasmi sejak awal tahun ini di Sabah, merangkumi BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Gabungan itu membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020 dan bekerjasama menghadapi pembangkang di peringkat negeri pada PRU15.
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment