Kerusi Parlimen Langkawi sekali lagi menjadi tumpuan ramai pada PRU ke-15 apabila Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dia bakal mempertahankan kemenangan diraihnya pada 2018.
Ia sekali gus menjadi penanda aras bukan sahaja kepada batang tubuh bekas perdana menteri itu, sebaliknya mengukur keupayaan parti yang baru diasaskannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Negarawan berusia 97 tahun itu dijangka berdepan calon muka baru atau muka lama yang dilihat akan menjadi taruhan parti-parti lawan.
Menurut sumber, BN mungkin menurunkan aktivis dan bekas setiausaha sulit kanan kepada tiga menteri besar Kedah, Armishah Siraj.
Selain itu, katanya, seorang lagi pilihan yang BN ada ialah Ketua Umno Langkawi, Nawawi Ahmad, yang juga bekas calon gabungan itu pada PRU ke-14.
"Dua individu itu yang dijangka menjadi calon BN akan berdepan Mahathir nanti.
"Armishah adalah calon muka baru yang dilihat bergerak aktif menyantuni masyarakat setempat dengan cara tersendiri.
"Walaupun tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian, bekas pegawai daerah itu dilihat berpotensi dan mempunyai kelebihan," kata sumber yang enggan disiarkan namanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bersatu berminat letak calon
Armishah merupakan bekas penjawat awam yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Syed Razak Syed Zain, Ahmad Bashah Md Hanipah dan Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketika dihubungi Malaysiakini, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung jangkaan tersebut dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Umno.
Sementara itu bagi pihak PH pula, risikan Malaysiakini mendapati gabungan itu berkemungkinan besar akan mencalonkan Ketua Amanah Langkawi, Zabidi Yahya sebagai pertaruhan terbaik.
Sumber bagaimanapun berkata ia belum muktamad setakat ini dan masih di peringkat cadangan.
"Kemungkinan besar Zabidi sebab dia ketua Amanah kawasan Langkawi," kata sumber dalaman Amanah itu.
Dalam perkembangan sama di pihak Perikatan Nasional (PN) pula, soal pemilihan calon bagi Parlimen Langkawi juga belum dimuktamadkan.
Namun sumber Bersatu memaklumkan parti yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin itu berminat untuk mempertaruhkan calon mereka berdepan Mahathir.
"Belum finalized, tapi Bersatu memang mahu Parlimen Langkawi," katanya ringkas.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini jika kerusi itu diberikan kepada Bersatu, ia berkemungkinan akan ditandingi ketua Bersatu bahagian Langkawi, Amar Pared.
Sebagai rekod pada PRU ke-14 Mahathir yang mewakili PH ketika itu memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 undi menewaskan Nawawi dan calon PAS, Zubir Ahmad.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment