NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selepas Anwar dan Peja, kini Aminuddin tanding di Tambun


IPOH:
Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, dijangka dipilih oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata nama itu dicadangkan Badan Perhubungan UMNO Perak.

"Calon (BN) di Tambun yang dicadangkan ialah Ketua UMNO Bahagian Tambun yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri iaitu Datuk Aminuddin," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Hutan Melintang dekat Bagan Datuk, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

Pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, percubaan PH mempertaruhkan Anwar pada PRU15 di Perak amat dialu-alukan.

"Perak adalah kubu kuat BN, namun kalau mana-mana parti mahu mencuba, kita mengalu-alukan percubaan mereka," katanya.

Ditanya sama ada penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, akan dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen berkenaan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Katanya, perkara sama turut diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti bagi mengenal pasti kerusi yang sesuai untuk Khairy Jamaluddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Rembau.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15. – BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo