NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya tetap tidur lena walaupun Anwar tanding di Tambun, kata Saarani


TANJUNG MALIM:
Umno dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak pernah gentar berdepan dengan Anwar Ibrahim yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Saarani Mohamad berkata, jentera parti Umno dan BN telah lama melakukan pelbagai persediaan untuk berlawan habis-habisan dengan sesiapa sahaja termasuk calon ‘nama besar’ dari parti pembangkang.

“Saya juga percaya pengundi telah belajar daripada kesilapan (pada PRU14 yang lalu), takkanlah ‘orang’ Tambun begitu mudah tertipu dan terpedaya dengan Anwar yang telah ditolak oleh pengundi Melaka, Johor dan Sarawak pada pilihan raya negeri yang lalu.

“Keputusan PH meletakkan Anwar untuk bertanding di Tambun tidak membimbangkan saya, tidak juga membuatkan saya gusar atau tidak tidur malam kerana saya tahu jentera parti sudah bersiap sedia dan kami (BN) yakin akan meraih undi yang banyak pada PRU15 nanti,” katanya.

Saarani yang juga menteri besar sementara Perak bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama keluarga K Devagi sempena sambutan Deepavali di Jalan Lama Kampung Chengai, Sungkai di sini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan meletakkan Ketua Umno Bahagian Tambun, Aminuddin Md Hanafiah sebagai calon BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Saarani berkata keputusan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan.

“BN ini ada kebijaksanaan yang tersendiri, kami akan umum bila tiba masanya dengan calon yang betul,” katanya.

Pada Sabtu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata Aminuddin dijangka dipilih BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun seperti dicadangkan Badan Perhubungan Umno Perak.

Pada PRU14, Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai ura-ura meletakkan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki di kerusi Parlimen Gerik pada PRU nanti, Saarani berkata BN tidak akan meletakkan calon payung terjun.

“BN tidak akan mencipta masalah baharu, kami selesaikan masalah sedia ada dan jangan mencipta masalah baharu. Insya-Allah tidak ada calon payung terjun,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerusi Parlimen Gerik dijangka menyaksikan pertembungan antara dua pemimpin ‘muda’ Umno iaitu Asyraf Wajdi serta calon dari DAP iaitu Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee Chuan How pada PRU15.

Pada PRU14, calon BN, Hasbullah Osman yang meninggal dunia pada November 2020 memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti sebanyak 5,528 undi.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo