NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya hanya bertanding di Ketereh, jika dicalonkan dalam PRU15' - Annuar

KOTA BHARU: Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, bertegas tidak akan bertanding di tempat lain selain Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, pendirian itu sudah menjadi prinsipnya sejak dahulu lagi dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.

"Saya sudah buat keputusan sejak dahulu lagi, tak mahu bertanding di tempat lain, sebab prinsip saya mahu berkhidmat di tempat saya dilahirkan, walaupun melihat orang sekarang berpindah randah.


"Cara politik adalah masing-masing. Ada sesetengah orang setiap penggal berpindah, namun saya memilih untuk menawarkan diri berkhidmat di tempat kelahiran dan UMNO bahagian yang saya pimpin.

"Kalau nak suruh saya bertanding di Kuala Lumpur ke, kampung isteri saya ke, itu bukan prinsip saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Peringat, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di Parlimen Ketereh, Annuar berkata beliau sendiri tidak tahu dan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Seperti yang saya kata di Ketereh kita ikut perlembagaan di mana kita di peringkat bahagian sudah mencadangkan nama calon dan diserahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum dirujuk kepada pusat.

"Mengikut perlembagaan jika mereka mahu memilih calon lain iaitu bukan senarai yang kita cadangkan, parti hendaklah berunding semula dengan bahagian berkenaan.

"Setakat ini tiada berunding semula dan saya kira nama yang dicadang itu dipertimbangkan. Terima atau tidak saya serahkan kepada pucuk pimpinan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang UMNO memastikan calon dipilih pada PRU15 adalah pemimpin yang berdisiplin tinggi dan tidak besar kepala, Annuar memaklumkan pendirian itu adalah hak presiden.

"Saya fikir sebagai presiden beliau berhak menyatakan dasar yang beliau mahukan. Kita tidak ada masalah kerana apa yang penting, calon yang boleh membawa kemenangan," katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo