Ketika Pakatan Harapan memegang kerajaan, langsung tidak ada usaha ke arah pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) / (RUU 355), barangkali kerana takut dengan tekanan daripada DAP sebagai parti yang mendominasi dalam gabungan.
Hanya PAS parti yang bersungguh-sungguh berusaha sehingga kita berjaya membawa RUU 355 ke fasa terakhir. Satu langkah sahaja lagi untuk dibentangkan di Parlimen pada hujung sidang Oktober ini, malangnya terbantut kerana Parlimen dibubarkan secara tiba-tiba.
Sejak YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) lagi, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil sudah diberi arahan untuk membuat persiapan ke arah pindaan RUU 355.
Jawatankuasa ini telah bermesyuarat beberapa kali walaupun pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memastikan cadangan draf yang akan dibuat benar-benar mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan.
Selepas pertukaran Perdana Menteri, sekali lagi kita sahkan tekad untuk membentangkan RUU 355 di persidangan Parlimen yang asalnya dijadualkan pada November 2022.
Hasil daripada keputusan itu, draf RUU 355 berjaya dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-27 pada 11 hingga 12 Oktober 2021.
Alhamdulillah, cadangan yang dikemukakan oleh negeri-negeri ini juga telah diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada 29 Mac 2022.
Jika PAS benar bersungguh, kenapa RUU 355 ini mengambil masa yang lama sehingga hampir 3 tahun untuk disiapkan?
Pertama, kita sangat mengambil berat penglibatan dan rundingan dengan negeri-negeri.
Hal ini kerana apabila RUU ini diluluskan dan dikuatkuasakan, selaku undang-undang melibatkan Syariah yang berada di bawah kuasa Raja-raja Melayu, negerilah yang akan membuat pertimbangan dan pindaan susulan sama ada untuk mengekalkan atau meminda hukuman bagi kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing.
Inilah keunikan RUU 355 yang tidak ada pada RUU Kerajaan yang lain.
Kedua, kerana ketidak stabilan politik negara sehinggakan Perdana Menteri terpaksa bertukar di tengah-tengah pemerintahan. Pembentukan kabinet baru pastinya mengambil masa, dan kemudiannya menjadikan beberapa dasar dan perancangan perlu disemak dan diteliti semula.
Ketiga, kerajaan juga pada masa yang sama sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, di mana semua peruntukan dan program-program kerajaan difokuskan untuk memerangi pandemik dan seterusnya, membantu rakyat bangkit daripada impak ekonomi. Ditambah pula dengan kekangan pelaksanaan PKP untuk beberapa ketika, sedikit sebanyak turut menjejaskan perjalanan RUU ini.
Namun, PAS tidak sesekali menjadikan semua itu sebagai alasan untuk tidak berusaha ke arah pindaan.
Akhirnya, pada 26 Ogos 2022, Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU 355. Draf RUU 355 juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022.
Kita sasarkan bacaan pertama RUU ini akan dibentangkan pada akhir Oktober dan diluluskan pada bulan November 2022.
Tidak cukup dengan itu, kita turut giat memperkenalkan program-program pendidikan jenayah syariah melalui agensi-agensi yang kita ada termasuklah di saluran media seperti IKIM dan TV Al-Hijrah.
Semuanya untuk memastikan bukan sahaja kerajaan, bahkan rakyat juga bersedia untuk menyambut pindaan RUU 355 ini nanti.
Inilah bukti PAS bukan parti ‘sembang’ dalam memperkasa undang-undang syariah di Malaysia. Bagi mereka yang mempersoal apa hasil PAS dah lakukan sepanjang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, jawapan kita inilah hasilnya.
RUU 355 sudah siap dan sedia dibawa oleh mana-mana parti politik yang memegang kerajaan selepas PRU ini ke Parlimen untuk dibentang dan juga diluluskan.
Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary
26 Oktober 2022
#RUU355
#undangundangislam
#JenayahSyariah
#RangUndangundang
#syariah
#PAS
#agensiagama
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02rNXVWcZAJujwwEHrBZZnJfZQihMKG6Xm5LV3RiVMvVLhMvC9C7cairQfgv5uMJAml&id=100050311487174
No comments
Post a Comment