DIA buat hal lagi tapi adakah apa-apa yang menghairankan?
Cristiano Ronaldo, yang tidak gembira, berkeupayaan mencuri tumpuan di luar padang – sama hebatnya seperti kelicikannya menambat perhatian di dalam perlawanan di sebalik itu pun semakin berkurangan.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, dilaporkan berang tapi fokus juga kini tertumpu kepadanya apakah dia benar-benar seorang pengamal disiplin yang bakal mengambil tindakan atau sekadar mahu berkongsi ‘kemasyhuran’ daripada kerenah pemain termahalnya itu.
Perihal Ronaldo beredar meninggalkan bangku pemain simpanan belum pun perlawanan menentang Tottenham di Old Trafford awal pagi tadi berakhir, bukanlah kali pertama.
Sebagai pemain gantian yang tidak digunakan, CR7 memasuki terowong pemain sejurus permainan memasuki minit ke-89 dan seperti dilaporkan Daily Mail, dia mungkin telah beredar meninggalkan stadium sebelum wisel penamat dibunyikan.
Sungguh kurang sopan tindakan Ronaldo itu kerana enggan meraikan bersama rakan-rakan sepasukan yang memperlihatkan antara persembahan terbaik mereka musim ini ketika mengukir kemenangan ke atas Spurs. - Stadium Astro
Sungguh kurang sopan tindakannya itu kerana enggan meraikan bersama rakan-rakan sepasukan yang memperlihatkan antara persembahan terbaik mereka musim ini ketika mengukir kemenangan 2-0 ke atas Spurs.
“Kurang rasa hormat”, “tak boleh diterima”, “pentingkan diri” dan “lupa daratan” adalah antara komen-komen terhadap tingkah-lakunya itu – baik daripada pengulas dan pengkritik televisyen mahupun peminat di media sosial.
Sikap besar kepala Ronaldo – pemenang lima kali Ballon d’Or tapi menduduki tangga ke-20 dalam anugerah terbaharu itu beberapa hari lalu – bukan saja menjadi masalah kepada ten Hag, malah kepada Ralf Rangnick terdahulu daripadanya.
Hanya tiga hari sebelum pertemuan dengan Spurs itu, Ronaldo turut mengundang kontroversi apabila dia digantikan Marcus Rashford ketika menentang Newcastle. - Stadium Astro
Hanya tiga hari sebelum pertemuan dengan Spurs itu, Ronaldo turut mengundang kontroversi apabila dia digantikan Marcus Rashford ketika menentang Newcastle yang berkesudahan 0-0.
Reaksi pemain berusia 37 tahun itu mudah difahami apabila dia menggeleng-gelengkan kepala serta menuturkan sesuatu ketika dirapati ten Hag di garis tepi padang.
Pengurus United itu ketika itu berkata dia tiada masalah dengan kekecewaan yang diperagakan ayam tambatannya itu tetapi tingkah lakunya awal pagi tadi jelas mengundang reaksi berbeza kerana jelas tidak menghargai kemenangan hasil jaringan Fred dan Bruno Fernandes yang menenggelami dirinya.
“Saya akan menangani perkara ini esok,” kata ten Hag sejurus usai perlawanan. “Saya mahu menumpukan kepada pasukan dan persembahan menakjubkan daripada semua 11 pemain dan yang masuk sebagai gantian.”
Maknanya, pada penglihatan pengurus itu, Ronaldo tidak lagi tergolong sebagai menakjubkan, jauh sekali menguntungkan pasukan.
Sebelum ini pun, ten Hag tidak lokek menghamburkan pujian kepada Rashford yang masuk menggantikan Ronaldo, Ahad lalu, dan bermula dalam kesebelasan utama, awal pagi tadi.
“Daripada segi serangan, anda perlu dinamik dan itulah yang mampu dibawa Marcus. Anda dapat lihat dalam 20 minit terakhir menentang Newcastle, dia masuk dan mengubah permainan,” katanya.
Kata-kata dan perbandingan itu harus membuat Ronaldo berasa hati, tambahan dia hanya tersenarai dalam kalangan gantian awal pagi tadi.
Mungkinkah kejadian terbaru ini bakal menyaksikan pemain antarabangsa Portugal itu tersisih lebih lama sebagai hukuman?
Atau ten Hag sekadar mahu menumpang kesempatan dengan mengutarakan rasa kurang senangnya terhadap Ronaldo tanpa diiringi sebarang tindakan? -- Stadium Astro
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment