PORT DICKSON — Abdul Rani Kulup Abdullah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding atas tiket Barisan Penyatuan Nasional (BPN) merebut kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 Disember ini.
Abdul Rani, 67, yang popular dengan panggilan Ayahanda ARKA dijangka berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH) dan pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
Ayahanda ARKA yang juga Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform badan bukan kerajaan (NGO).
“Ayah bertanding ini untuk rakyat, masyarakat di Port Dickson demi membantu rakyat, asnaf, orang susah dan menyelesaikan masalah mereka,” dakwanya dalam sidang akhbar hari ini.
Abd Rani yang juga Ketua Bahagian BPN Port Dickson memberitahu, beliau memilih Port Dickson kerana tiada kekosongan di tempat lain.
Mengulas lanjut, beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan kini menetap di Gombak, Selangor itu berhasrat menyelesaikan isu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mewujudkan sebuah Perkampungan Veteran Lestari sekiranya dipilih nanti.
“Sejak tahun 1973 hingga 1995, ayah berkhidmat dalam tentera selama 22 tahun dan jawatan terakhir sebagai Rejimental Sarjan Mejar di Kementerian Pertahanan (Kementah),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, BPN merupakan parti politik baharu ditubuhkan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan akan bertanding di 160 kerusi Parlimen pada PRU15.
Presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kebanyakan kerusi tersebut terletak di Semenanjung manakala yang lain di Sabah dan Sarawak.
Sebagai rekod, pada PRU14, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson baru dengan 31,016 undi dan majoriti sebanyak 23,560 undi, menurut Pegawai Pengurus PRK Port Dickson Khairy Maamor.
Anwar berjaya menewaskan enam lagi pencabarnya daripada parti Pas dan Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini. — BebasNews
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment