Reaksi dan sentimen pengundi tidak sepatutnya diabaikan oleh PKR terutama pada musim pilihan raya, kata bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Chua berkata demikian selepas PKR mengumumkan barisannya calonnya bagi PIlihan Raya Umum Ke-15 di Ampang, malam tadi.
"Memandangkan saya bukan lagi sebahagian kepimpinan parti pada masa ini, saya tidak tahu proses terperinci mengenai pemilihan calon. Sudah tentu, pemilihan ini tidak akan memuaskan hati semua orang. Ia boleh difahami," katanya.
“Bagaimanapun, saya rasa senarai calon sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti,” tambah Chua dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya pagi ini.
Pada majlis pengumuman calon malam tadi, penyandang ahli parlimen Batu, R Prabakaran dikekalkan sebagai calon bagi kerusi parlimen itu, yang mana turut diintai Chua.
Ramai kecewa dengan pemilihan calon
Menurut Chua, ramai yang "kecewa" dengan pemilihan beberapa calon.
“Selepas pengumuman, ramai orang kecewa dengan sesetengah pemilihan calon.
"Saya ingin mengingatkan semua calon bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk bersuara di kawasan mereka dan mewakili kepentingan pengundi. Jangan menganggap pengundi di kawasan itu sebagai tiket ke parlimen (atau kuasa).
"Ahli Parlimen bukan kelas istimewa, tetapi hamba rakyat. Sebagai ahli parlimen, kita hidup dalam kalangan pengundi dan masyarakat adalah sebahagian daripada kehidupan kita,” katanya.
Chua berkata, salah satu kriteria untuk memilih calon adalah keupayaan untuk membina hubungan yang kukuh dengan kawasan pilihan raya.
Kualiti ini perlahan-lahan berkurangan di kalangan wakil rakyat hari ini, katanya.
“Apabila ahli parlimen dan kerusi dirombak seperti bermain terup, ia bukan sahaja merugikan akar umbi parti, malah mengecewakan pengundi yang setia menyokong kita.
"Ketika kita bergerak untuk menyerang pihak lawan, kita juga mesti berjaga-jaga agar tidak kehilangan kubu kita," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment