KOTA BHARU: Rakyat perlu memilih kerajaan yang mengamalkan 'amar makruf nahi mungkar' yang mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran supaya dapat membangunkan sebuah negara Islam yang baik.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata dasar itu juga yang disebut dalam al-Quran selain menegaskan pembangunan negara dengan cara Islam adalah melalui ilmu, bukan dengan duit semata-mata.
"Jangan pilih yang hanya menabur duit dan membuat pelbagai janji kerana kalau ada duit, tetapi ilmu tidak ada maksudnya bodoh dan boleh membawa kepada kejahatan.
"Oleh itu, pengundi jangan salah pilih. Dengan adanya ilmu dan sifat terpuji, sebuah negara dapat dibangunkan dengan adil dan sebaiknya.
"Ramai yang tidak faham kita (PAS) menghadapi kesulitan untuk membentuk perpaduan ummah di negara ini yang bukan sahaja menyatukan ummah tetapi juga seluruh umat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan di Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di perkarangan Stadium Sultan Muhammad V, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dalam konsep masyarakat majmuk, adil itu bukan untuk orang Islam sahaja tetapi kepada semua dan itu adalah tekad PN bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Dalam PRU sebelum ini, kita dapat lihat selepas Pakatan Harapan (PH) menang dengan manifesto dan janji palsu, semuanya tidak menjadi. Malah, Islam diperkecilkan, selain turut menghina kedudukan Raja-raja.
"Penyatuan ummah harus membabitkan semua parti tetapi PAS mengambil keputusan tidak bekerjasama dengan PH serta Barisan Nasional (BN) dan memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana kita menolak penerima dan pemberi rasuah.
"Selain itu, kita dapat lihat peruntukan serta kewangan di Kelantan dilambat-lambatkan. Negeri ini banyak hasil tetapi semuanya perlu mendapatkan kebenaran Kerajaan Pusat terlebih dahulu.
"Bagaimanapun, negeri ini tetap berjaya membangunkan manusia kerana ramai anak Kelantan yang berjaya dan menjawat jawatan tinggi di pelbagai agensi," katanya.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment