KUALA LUMPUR: Silibus pelajaran di sekolah tidak boleh ditukar dalam kadar segera atas dua faktor utama, menurut penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.
Pertama, sesuatu silibus itu harus dilengkapkan kitarannya yakni pelajar harus mengharunginya dari mula memasuki sekolah hingga tamat di darjah atau tingkatan penghabisan.
Jelasnya, murid Tahun Satu pada 2017 merupakan kohort pertama yang menggunakan silibus yang ada hari ini, sementara murid Tahun lain masih memakai silibus lama kerana ia perlu dilengkapkan perjalanannya hingga Tahun Enam.
“Saya nak jelaskan bahawa pembangunan silibus ini mengambil masa, perjalanannya itu ada pusingan dan silibus yang kita lihat hari ini telah mula digunakan pada 2017.
“Itulah kali pertama ia digunakan sehinggalah hari ini, mereka yang Darjah Satu pada 2017 itu sudah Darjah Enam pada tahun ini, dan mereka yang Darjah Satu pada 2018 sekarang sudah Darjah Lima.”
Oleh hal demikian yang membawa kepada faktor kedua iaitu sebarang silibus tidak boleh diubah di pertengahan jalan kerana ia akan menggangu seluruh aturan sistem itu.
Dalam erti kata lain, untuk memperkenalkan silibus yang baharu, perlu ditunggu hingga seluruh kohort yang menggunakan silibus lama selesai perjalanannya hingga Darjah Enam.
“Maka kita perlukan penelitian yang mendalam, kita sedar daripada maklum balas daripada ibu bapa yang menceritakan bahawa silibus hari ini dilihat agak sukar berbanding dengan yang dahulu dan kita ambil kira.
“Kerana dalam konteks ini, satu kohort (Tahun Satu 2017) sudah tamat kitarannya dan inilah ruang terbaik untuk kita lihat kembali silibus tersebut,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
No comments
Post a Comment