NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Potensi pertembungan 'Gergasi Politik di Pagoh atau laluan mudah untuk Muhyiddin?

Mampukah Muhyiddin mempertahankan kerusi Pagoh pada PRU15 akan datang? - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan figura asing malah sosok yang kuat di negeri Johor, apatah lagi melibatkan kelangsungan hayat politiknya di salah satu kerusi ‘panas’ negeri iaitu Parlimen Pagoh.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kawasan itu antara yang menjadi tumpuan serta persoalan berhubung kebarangkalian berlakunya pertembungan ‘gergasi politik’ di Pagoh.

Melihat kepada sejarah politik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang telah mula bertanding sejak 1978 sehingga kini, apa yang menjadi tanda tanya adalah sejauh mana beliau mampu untuk mempertahankan kerusi itu kali ini.
Perjalanan politik Muhyiddin di Pagoh telah menerusi beberapa logo parti politik apabila mula dengan Barisan Nasional (BN), kemudian beralih kepada Pakatan Harapan (PH) dan kini meneraju Perikatan Nasional (PN).

Situasi daripada ‘kawan menjadi lawan’ kini berpotensi berlaku di Pagoh seperti apa yang berlaku di Tambun membabitkan cubaan untuk menggugat penyandangnya yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan kemunculan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, senario politik yang bakal berlaku di Pagoh juga bakal melihata gelagat pola pengundi melayu yang telah berlakunya perpecahan undi dalam kalangan kaum itu.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian, kerjasama dalam kalangan ahli Perikatan Nasional (PN) bakal teruji terutamanya melihat kepada Pas yang sebelum ini pernah berusaha untuk merampas kerusi itu pada PRU14 yang lalu.
Ini termasuk faktor strategi parti pihak lawan yang sememangnya sedang melakukan percaturan politik bahkan usaha parti politik lain yang cuba untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
“Kini Pas sudah bersama PN, apakah gerak kerjanya dapat membantu Muhyiddin untuk tingkatkan sokongan atau strategi UMNO untuk pastikan gerak kerja untuk mengatasi kempen beliau (Muhyiddin).
“Pertembungan di kawasan ini juga jadi indikator pada pesaing politik beliau untuk mengatasi kedudukan Muhyiddin di Pagoh, sejauh mana penjenamaan sewaktu kempen membolehkan kemenangan terhadap pihak yang melakukan pendekatan luar biasa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Melihat kepada faktor lain, Dr Sivamurugan menyatakan, meskipun logo bertanding Muhyiddin sudah bertukar, persoalannya adakah pengundi akan mengambil kira aspek sumbangan serta ketokohan bekas Perdana Menteri itu di kawasan terbabit bagi menjamin kemenangannya pada PRU15 akan datang
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu telah menerajui fasa pentadbiran negara yang sangat mencabar apabila Malaysia berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 yang seterusnya menyaksikan beliau memimpin dengan langkah pemulihan ekonomi yang drastik.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagaimanapun memberikan bayangan bahawa PRU15 mungkin medan yang terakhir untuk dirinya bertempur dalam arena politik bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk meneruskan legasinya.
Apa yang pasti, pertembungan di Pagoh pada PRU15 akan datang akan terus menjadi tumpuan termasuk menjawab persoalan sama ada Muhyiddin mampu untuk mempertahankan kerusi ‘panas’ itu atau kecundang di tangan pihak lawan.

Sumber | Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo