KANGAR: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dilihat masih berteka-teka mengenai kedudukan penyandang kerusi Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, sama ada digugurkan atau kekal mewakili parti itu bagi mempertahankan kerusi berkenaan.
Sebelum ini, timbul desas-desas kononnya Mohamed Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa AMANAH dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) tidak akan dicalonkan semula bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya adalah Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah al-Jundi. Parlimen Sepang dikatakan turut diintai Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Mega Harapan Pakatan Harapan (PH) di tapak Pasar Lama Kangar, di sini, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi PH, sekadar memaklumkan calon PRU boleh berubah dari semasa ke semasa.
Ditanya sama ada punca Mohamed Hanipa bakal digugurkan adalah sebab kesihatan, beliau menegaskan, ramai lagi wakil dalam AMANAH yang masih berkelayakan untuk bertanding sekiranya penyandang kerusi Parlimen Sepang itu tidak bertanding kali ini.
"Berkenaan calon ini, ia boleh berubah dari semasa ke semasa dan kita ikut keperluan kerana dalam AMANAH, terlalu ramai orang berkelayakan. Jadi kita boleh pergi (pilih) kepada sesiapa sahaja yang dianggap layak," katanya.
Terdahulu dalam ceramahnya, Mohamad mengulangi sasaran PH mahu merebut semula kira-kira 50 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU15, terutama kawasan yang dirujuk gabungan itu sebagai 'kerusi khianat'.
Katanya, kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi BERSATU pada PRU lalu, ketika gabungan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu masih bersama PH.
"Setakat ini rundingan berhubung kerusi yang pernah ditandingi dan dimiliki BERSATU masih terus dijalankan membabitkan semua parti komponen dalam PH di Semenanjung. Keputusannya akan diumumkan pada 30 Oktober ini.
"Selain itu, rundingan juga membabitkan kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Bagi parti selain MUDA pula, kita akan lihat perkembangan mutakhir selepas ini," katanya.
Katanya, penentuan berhubung agihan kerusi terbabit akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH kelak.
No comments
Post a Comment