Tuan Ibrahim bagaimanapun tetap menyerahkan keputusan muktamad mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan parti. - Gambar fail |
KOTA BHARU: Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini memberikan bayangan mengenai hasratnya pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) ini untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian yang disandangnya, namun tetap menyerahkan keputusan muktamad mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
"Hati saya jatuh cinta dengan Kubang Kerian. Saya seperti pimpinan lain, kita serahkan kepada parti untuk buat keputusan. Saya difahamkan pagi ini ada mesyuarat final," katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Karnival KASA 2022@Kubang Kerian Sejahtera di sini hari ini.
"Apa yang penting sebagaimana yang diamanahkan, laksana tanggungjawab, tapi insya-Allah kita tunggu pengumuman," tambahnya.
Pada PRU14 lepas, Tuan Ibrahim yang pertama kali bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian menang dengan majoriti 19,369 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani dan Datuk Dr Abdul Halim Yusof daripada PKR.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata proses pembahagian kerusi Perikanan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 berjalan lancar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
-- BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment