PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara yang bertentangan dengan dasar dan prinsipnya.
"Itu kita nak timbang. Tengoklah kalau mereka sependapat dengan kita, tidak terbabit dengan benda-benda yang bertentangan dengan dasar dan prinsip kita. Kita mungkin ada kerjasama dengan mereka," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa pihaknya akan meneliti keputusan berhubung kerjasama dengan GTA dalam PRU-15 kelak.
Minggu lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, GTA bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang 'sebulu' dengannya iaitu parti yang menentang UMNO.
Beliau juga dilaporkan berkata, GTA bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan bekas partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin Muhyiddin.
"Kita harus fikirkan pengkhianat mana yang lebih besar," katanya.
- Bharian
No comments
Post a Comment