KUALA LUMPUR: Calon UMNO yang bertanding dengan tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu memenuhi kriteria "WALI" -- "winnability" (boleh menang), "acceptibility" (kebolehterimaan) dan "likeability" (disenangi), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, setiap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dikehendaki mengemukakan senarai calon kepada "Top Five" UMNO dan proses rundingan bagi pemilihan calon UMNO akan bermula Isnin depan.
"Siapa sahaja yang memenuhi kriteria ini (WALI) akan menjadi calon UMNO yang mewakili BN, tiada kluster-kluster," katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersama lebih 700 perwakilan bahagian dan sayap melibatkan 191 bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
"Siapa sahaja yang memenuhi kriteria ini (WALI) akan menjadi calon UMNO yang mewakili BN, tiada kluster-kluster," katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersama lebih 700 perwakilan bahagian dan sayap melibatkan 191 bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Dalam pertemuan lebih sejam itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata, ia antara amanat yang disampaikannya dalam perjumpaan bersama pimpinan UMNO bahagian itu hari ini, selain kesiapsiagaan parti itu bagi menghadapi PRU15.
Mengulas kritikan terhadap pendirian UMNO untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, UMNO komited pilihan raya itu perlu dilaksanakan sebelum musim banjir.
"Kita hargai bantahan kerana mereka tak bersama dalam komponen BN, maka mereka juga perlu menghormati pendirian yang ada pada UMNO...PRU15 wajib diadakan tahun ini," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 September lepas memutuskan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini dan susulan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai cadangan mempersembahkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri (PM), Ahmad Zahid berkata, parti tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya sebaliknya terpulang kepada perbincangan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
"PM mempunyai kuasa mutlak setelah mendapat mandat daripada Jemaah Menteri untuk menghadap Agong dan menasihati Agong bagi penentuan tarikh pembubaran Parlimen.
"Kita menghormati kuasa PM. Bila pun, kita menghormati, seboleh-bolehnya (kalau boleh) semalam (mahu PM menghadap Agong)," katanya. - BERNAMA
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment