NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-15: Adakah Pengundi Muda Dipengaruhi oleh Media Sosial?


KUALA LUMPUR:
Pada 19 Nov ini, rakyat akan memilih malim baharu untuk tempoh lima tahun akan datang, dan dijangka lebih 21 juta pengundi termasuk 34 peratus pemilih baharu terlibat pada pilihan raya umum kali ini.

Sekalipun tempoh rasmi berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini hanya akan bermula pada 5 Nov depan, iaitu selepas selesainya penamaan calon, ahli politik sebenarnya telah “saling berperang” sejak beberapa tahun lepas dengan media sosial menjadi antara platform utama bagi menyampaikan maklumat, baik tentang diri mereka ataupun pihak lawan, kepada masyarakat.

Menariknya PRU15 ini bakal menyaksikan kira-kira 3.8 juta pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, iaitu generasi Z yang lahir ketika era letusan teknologi maklumat (IT) serta membesar sebagai celik IT dan rata-rata adalah “pakar” media sosial, membuang undi buat pertama kali.

Menimbang senario tersebut, timbul persoalan tentang “kematangan” pengundi muda ini dalam membuat pilihan, terutama  di tengah-tengah ledakan pelbagai maklumat termasuk cerita-cerita rekaan yang dilihat pemerhati mampu mempengaruhi trend undi generasi Z ini.

Berita negatif lebih menarik

Menurut pemerhati politik yang juga personaliti media sosial Tai Zee How, umumnya golongan ini banyak bergantung pada media sosial bagi mendapatkan maklumat.

“Pengguna media sosial ketika ini turut menunjukkan semakin ramai rakyat negara ini berminat dengan politik berbanding dahulu,” ujarnya kepada Bernama.

Bagaimanapun kata Tai, rata-rata pengamal media sosial lebih tertarik kepada maklumat-maklumat bersifat negatif, iaitu hal-hal buruk, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan penyebaran berita palsu khususnya pada PRU ini.

Dari satu sudut katanya, kebergantungan pada media sosial dan sumber lain sebagai penyalur berita turut mencerminkan kematangan masyarakat kerana mereka tidak lagi menerima bulat-bulat maklumat yang disebar, khususnya jika diketahui sumber berita itu dikawal oleh pihak-pihak tertentu.

 “Kematangan mereka boleh diukur berdasarkan pandangan serta maklumat yang mereka kongsikan dan ini boleh dijadikan panduan dalam menilai trend pengundian mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun kata beliau, tahap kematangan seseorang itu tidak sama kerana ada faktor lain yang mempengaruhi termasuk kedudukan sosioekonomi, kaum, umur, kawasan tempat tinggal, pekerjaan dan jantina mereka.

Lambakan maklumat

Mengambil kira populariti media sosial dalam pilihan raya umum di beberapa negara sebelum ini, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) percaya senario serupa juga tidak terkecuali di negara ini.

Malah katanya penggunaan Internet secara meluas sebagai medium penyebaran maklumat sudah berlaku pada PRU13. 

“…ketika PRU13, ia digelar pilihan raya media sosial kerana menggunakan sepenuhnya medium tersebut untuk menyalurkan maklumat.

“PRU14 pada 2018 pula lebih menjurus kepada ‘Pilihan Raya Facebook’ dan kali ini, dijangkakan Tik Tok yang berkonsepkan video berdurasi pendek digunakan secara meluas semua parti politik,” kata penganalisis politik dan media sosial itu kepada Bernama.

“Gelombang Tik Tok tidak dapat dielakkan berikutan platform ini sedang meraih populariti tertinggi dalam pilihan raya di beberapa negara seperti Jerman, Colombia, Filipina dan Amerika Syarikat.

“Selain itu, ia juga dilihat sedang membentuk ‘inkubator utama’ bagi maklumat tidak berasas dan mengelirukan dalam banyak cara, berbanding Facebook dan Twitter yang (boleh) menjejaki kepalsuan dalam talian,” katanya.

Bagaimanapun katanya penggunaan tidak wajar yang keterlaluan platform itu boleh memberikan kesan sebaliknya termasuk menimbulkan rasa “muak dan tidak percaya pengamal media sosial lain.”

“Ini juga boleh meningkatkan pengundi atas pagar dan kita bimbang jika mereka mengambil keputusan tidak mengundi. Tidak kira apa platform pun yang digunakan, penyaluran maklumat haruslah beretika,” tegasnya yang turut mengingatkan tentang kemunculan lasykar siber, khususnya untuk “menyerang” kredibiliti calon lawan.

Cakna agenda

Bagi memastikan pilihan tepat,  Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir menasihati pengundi muda terutamanya agar tidak menerima begitu sahaja maklumat yang disebarkan melalui platform media sosial.

“Penting untuk khalayak muda tidak telan bulat-bulat setiap hantaran media sosial kerana ada dalam kalangan kandungan-kandungan tersebut membawa agenda tersendiri. Jika ditelan bulat-bulat, maka mereka akan mempercayainya dan seterusnya membuat keputusan berdasarkan pengaruh kandungan media sosial itu,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, pengundi harus menimbang dan membuat semakan fakta termasuk meneliti laporan-laporan daripada sumber lain, khasnya yang dilaporkan oleh wartawan terlatih, bagi menentukan kesahihan berita. 

Katanya mereka juga perlu ingat bahawa keputusan yang dibuat pada 19 Nov ini adalah untuk lima tahun akan datang.

“…bertindak terburu-buru dalam membuat keputusan ketika PRU akhirnya akan mendatangkan kemudaratan kepada kawasan dan calon yang mereka undi,” ujarnya. – BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo