PENGKALAN CHEPA: Naib Presiden PAS, Dato’ Amar Abdullah menjangka pelbagai parti dan calon bebas akan muncul menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pihaknya tidak boleh menghalang kerana tindakan tersebut selaras dengan norma-norma negara demokrasi.
Katanya parti serta calon bebas yang bakal muncul pada setiap pilihan raya perlu mempunyai tujuan kukuh bukan hanya sekadar meraih publisiti.
“Kena ada tujuan jelas sebab politik ini bukan benda main-main, bagi kami (PAS) politik mempunyai kaitan dengan agama dan tanggungjawab untuk rakyat.
“Kalau sekadar hendak tubuh parti untuk bertanding atas tiket bebas untuk mendapatkan kerusi saya rasa tidak betul tujuannya,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Jubli Emas PAS Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) malam tadi.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di semua 14 kerusi parlimen di Kelantan, malah turut dijangka tampil ramai calon bebas pada PRU ini.
Timbalan Menteri Besar itu berkata, PAS tidak terancam terhadap keputusan tersebut malah bersedia untuk menghadapi pertembungan lebih empat penjuru sekiranya benar-benar berlaku.
Kata beliau PAS Pengkalan Chepa akan terus mempertahankan kerusi tradisi terbabit walaupun akan berlaku pertandingan yang tidak dijangka sebelum ini.
“Kita nak kata terancam atau pun tidak terancam kita pun tidak tahu kan, tetapi asasnya kita tidak boleh hendak sekat mana-mana pihak untuk berbuat demikian,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2022
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment