KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin bahagian PKR berkata, beliau dikasari polis ketika ditahan di Batu Caves semalam atas dakwaan menghalang lalu lintas dan melawan ketika ditahan selepas itu.
Polis menahan Naib Ketua PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip semalaman di lokap Sentul dan membebaskannya dengan jaminan polis tengah hari tadi. Mereka turut menafikan dakwaan lelaki itu dikasari.
Mengimbas kejadian semalam, Rozan berkata, beliau dipaksa meniarap atas tanah dan digari sebelum polis mematahkan pemegang bendera parti.
Katanya, beliau ke kawasan kejiranan itu dengan pembesar suara untuk memaklumkan pengundi menyemak butiran mereka di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya, selepas sesetengah pengundi mendakwa mereka didaftar dengan alamat salah.
“Polis datang kemudian dan kata saya berkempen, saya diberitahu membawa bendera PKR salah. Saya beritahu mereka, saya membuat hebahan khidmat awam, bukan berkempen.
“Apabila mereka mengugut untuk tangkap, saya meminta butiran kesalahan yang didakwa dilakukan saya. Mereka tiada jawapan.
“Apabila saya tanya sama ada saya perlu merakam menggunakan telefon saya, mereka kata teruskan. Apabila saya lakukannya, mereka merampas telefon saya,” katanya kepada FMT.
Rozan kemudian mendakwa dua anggota polis itu mengasarinya, menolak mukanya ke bawah dan menggarinya dengan tangan di belakang. Katanya, polis kemudian mematahkan pemegang bendera yang dipegangnya.
“Dengan muka saya ke bawah, saya asyik tanya kenapa saya ditahan, tetapi mereka tidak jawab. Hak saya tidak dibacakan kepada saya.”
Rozan, bekas pegawai khas kepada seorang timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan, berkata terdapat kesan melecet di pergelangan tangannya akibat penahanan kasar oleh polis.
Peguamnya, Gurmukh Singh terkejut dengan kenyataan polis berhubung anak guamnya menghalang polis kerana perkara itu tidak pernah didedahkan kepadanya ketika ditahan.
“Polis perlu nyatakan dengan sangat jelas. Anda perlu beritahu individu terbabit kenapa anda menahannya. Ia bukan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan kemudian.”
Pemegang bendera patah ketika ditahan, kata ketua polis daerah
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai dalam respons segera menafikan dakwaan Rozan dengan berkata semua prosedur dipatuhi.
“Kami tidak mematahkan pemegang bendera itu. Beliau bergelut melawan penahanan dan pemegang itu patah.”
Mengenai dakwaan Rozan bahawa alasan penahanannya tidak dimaklumkan kepadanya, Beh berkata: “Itu versi dia, tetapi kami ada (nyatakan alasan ditahan).”
Dalam kenyataan terdahulu, Beh berkata, polis mengarahkan Rozan meninggalkan kawasan itu, tetapi beliau sebaliknya “melakukan provokasi dan mempersoalkan kuasa polis”.
“Setelah menerangkan hak-hak untuk menahan dan memeriksa, pihak polis menasihati individu tersebut untuk beredar, tetapi beliau enggan dan beliau sekali lagi bertindak melakukan provokasi dengan mempertikaikan hak pengadu sebagai anggota polis.
“Oleh yang demikian, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.”
Rozan disiasat mengikut Seksyen 186 dan 283 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta membuat halangan di jalan awam.
Sesiapa yang didapati bersalah menghalang penjawat awam bertugas boleh didenda sehingga RM10,000 dan dipenjara sehingga dua tahun. Menghalang jalan awam boleh didenda sehingga RM400.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment