NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN mungkin tidak bertanding di 27 kawasan Kritikal UMNO kalah dengan PH bagi menjayakan Pakatan PAS, UMNO dan BERSATU untuk PRU-15


PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mendedahkan Bersatu sudah diberitahu supaya tiada pertembungan berlaku di 27 ‘kerusi kritikal’ dengan Umno, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) walaupun Muhyiddin Yassin menggelar parti itu sebagai “musuh utama”.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki, berkata ia bagi memastikan kerusi berkenaan tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selepas Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak bekerjasama pada pilihan raya akan datang.

“Walaupun keputusan semalam (13 Okt) menyatakan PAS bersama PN, tetapi masih ada ruang untuk berlakunya pakatan ketika PRU untuk tidak bertembung kerusi.

“Saya pun dah dimaklumkan oleh pimpinan dan perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada PN-Bersatu, PAS mengusahakan untuk mengelakkan bertembung di 27 kerusi berisiko dengan Umno,” katanya kepada FMT.

27 kerusi Parlimen itu melibatkan 20 kerusi dimenangi PH susulan pertembungan PAS-Umno, manakala baki tujuh kerusi berisiko jatuh ke tangan PH disebabkan kekalahan tipis gabungan pembangkang itu, pada PRU14.

Zuhdi sebelum ini mencadangkan kerusi terbabit dinamakan “kerusi Muafakat Nasional” bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti besar Melayu itu.

Dalam pada itu, Zuhdi berpendapat walaupun kedua-dua parti itu tidak bergabung dalam PRU15, namun masih ada “peluang” untuk PAS dan Umno berpakat agar PH tidak mendapat kelebihan akibat perpecahan undi orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran sekiranya pakatan itu tidak berhasil, kemungkinan besar PH akan menang besar dan menakluk kembali Putrajaya akibat kesilapan parti Melayu yang berpecah-pecah.

“Saya nampak pemimpin tertinggi PAS, dan Umno hanya nampak gabungan tak nampak pakatan di situ, sebab pilihan kita banyak…untuk halang PH mahu tak mahu kita perlu pakatan di kerusi kritikal ini.

“Jika tidak potensi PH untuk menang adalah besar, lebih besar dari PRU14 kerana dulu undi Melayu pecah dua sahaja, tetapi kali ini mengundi melayu pecah kepada tiga , BN-PN-GTA,” katanya.

Ditanya halangan sebenar PAS dan Umno bergerak bersama dalam PRU15, Zuhdi mengakui terdapat halangan di peringkat atasan kedua-dua parti, sambil menambah tindakan Bersatu, yang mengisytiharkan Umno sebagai musuh utama antara “penghalang” dua parti itu bergerak ke peringkat seterusnya.

“PAS dan Umno, kedua-duanya berpegang kepada musuh utama adalah PH kecuali Bersatu, sebab itu kita nasihat Bersatu banyak kali supaya ubah cara berfikir bahawa lawan utama adalah PH bukan Umno.

“Tetapi walaupun Bersatu seperti itu… kita masih berusaha untuk yakinkan Bersatu kerana Umno tidak sampai begitu (mengisytiharkan Bersatu musuh utama),” katanya.

Pada 24 Sept, Muhyiddin berkata BN adalah musuh utama gabungan itu pada PRU15 yang bagaimanapun disanggah PAS yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan janggal lebih-lebih lagi kepada parti dalam kerajaan dipimpin bersama.

Pada 28 Mac lalu, dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan Umno tidak bekerjasama dengan Bersatu, pada PRU15, adalah muktamad.

Pada 2 Okt, Zahid mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sekiranya mahu kembali menjalin kerjasama politik – keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo