NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH tolak PSM sertai gabungan


KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan (PH) menolak sepenuhnya permohonan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Nasional PSM, S Arutchelvan, berkata perkara itu dimaklumkan selepas pihaknya menerima surat daripada PH bertarikh hari ini.

"Tanpa sebarang kerusi diperuntukkan kepada PSM, kami faham bahawa PH tidak berhasrat untuk mengadakan kerjasama pilihan raya dengan PSM.

"Kami kesal kerana perkara ini dimaklumkan agak lewat memandangkan kenyataan dibuat Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa akan ada kerusi diperuntukkan kepada PSM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)," katanya dalam kenyataan malam ini.

PSM sebelum ini mengesahkan sudah menghantar permohonan rasmi bagi menyertai PH, sekali gus mengadakan kerjasama pada PRU15.

Malah, PH bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bagi berunding dengan PSM dan MUDA berhubung permohonan mereka bekerjasama dengan gabungan itu secara rasmi.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata, permohonan PSM untuk mengadakan kerjasama pilihan raya dengan PH kerana ia adalah kehendak dan harapan ahli serta penyokongnya.

"Dalam dua perbincangan diadakan dengan PH, PSM mengemukakan permohonan minimum. Kami meminta Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj diberi laluan bertanding di Parlimen Sungai Siput kerana beliau calon boleh menang.

"Kami turut mencadangkan dua kerusi Parlimen lain sekiranya PH menolak cadangan untuk PSM bertanding di Sungai Siput. Malah kami memohon tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan kepada PSM.

"Pasukan rundingan PH iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Naib Presiden PKR) dan Steven Sim Chee Keong (penyandang Parlimen Bukit Mertajam) memaklumkan isu terbabit akan diselesaikan Majlis Presiden PH, namun akhirnya kami menerima jawapan yang menghampakan," katanya.

Justeru, beliau berkata, dengan perkembangan terbaru itu, PSM akan mengadakan mesyuarat tergempar esok bagi membincangkan hala tuju dan memutuskan sama ada akan bertanding pada PRU atau sebaliknya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo