NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkenalan dengan ustaz Syed Norhisham buka hati peluk Islam


Hulu Selangor: Sebelum memeluk Islam, Abdul Ghani Krishana Moorthy hanya pemandu teksi namun penghijrahan sembilan tahun lalu membuka jalan buatnya untuk menjadi pendakwah sepenuh masa.

Peluang menjadi pendakwah dan berkongsi pengalaman termasuk menerusi beberapa rancangan di televisyen tidak disia-siakan sebaliknya dimanfaatkan bagi menyebar luaskan syiar Islam.

Berkongsi kisahnya, Abdul Ghani, 43, yang menetap di Serendah, di sini berkata, kehidupannya sebelum memeluk Islam tidak tentu arah dan mengakui banyak dosa yang pernah dilakukannya.

Bagaimanapun, perkenalan dengan pendakwah bebas, Ustaz Syed Norhisham Al-Idrus membuka hatinya untuk memeluk Islam.

"Awalnya tidak minat (dengan Islam), namun satu hari, saya memandu teksi dan kebetulan, Ustaz Syed Norhisham jadi penumpang.

"Ketika dalam perjalanan, dia (Ustaz Syed Norhisham) banyak bercerita fasal Islam dan ada juga bagi risalah agama jadi perkongsiannya sedikit sebanyak menjentik hati saya.

"Saya ada juga belajar sendiri dengan membaca buku agama dan cuba mengaji, berpuasa serta solat dua tahun sebelum memeluk Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Abdul Ghani berkata, dia merahsiakan pengislamannya dengan keluarga selama dua tahun sebelum berterus terang dengan mendiang bapanya.

"Selepas dua tahun memeluk Islam, saya jumpa dan berterus terang dengannya.

"Kiranya, dia orang pertama yang tahu dan saya kongsi dengan harapan ayah akan beritahu ibu serta lain-lain.

"Seminggu kemudian, ayah meninggal dunia dan saya pergi ke upacara pengebumiannya cuma belum berkahwin dalam tempoh keluarga masih berkabung.

"Keluarga tidak tahu kerana saya rahsiakan hal itu (perkahwinan) pada awalnya namun beranikan diri untuk berterus terang selepas isteri hamil.

"Bagaimanapun, keluarga sudah dapat mengagak yang saya sudah memeluk Islam cuma tunggu saya buka mulut saja.

"Daripada segi penerimaan pula, memang ada jurang dalam hubungan dengan keluarga selepas mereka tahu hal sebenar," katanya.

Abdul Ghani berkata, selepas memeluk Islam, dia bekerja sebagai pemandu sebuah keluarga Muslim sebelum menceburi bidang dakwah dengan bergerak di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

"Saya adalah Timbalan Pengerusi PERKIM Serendah, Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Dakwah PERKIM Selangor dan guru pembimbing asnaf Muallaf serta penasihat akidah Jabatan Mufti Selangor jadi memang banyak terbabit dengan pengurusan mualaf dan pengislaman mereka.

"Cabarannya memang ada lebih-lebih lagi dengan status saya sebagai mualaf. Oleh kerana itu, saya dinasihatkan menyambung pengajian dalam bidang agama.

"Saya ambil nasihat itu dengan menyambung pengajian Diploma Usuluddin di Kolej Dar al-Hikmah di Kajang, Selangor dan kini menuntut dalam semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Open Universiti Malaysia (OUM), Setapak, Kuala Lumpur.

"Ia inisiatif saya untuk memantapkan diri kerana sedar, walau petah bercakap macam mana sekalipun tidak akan ke mana jika tiada ilmu," katanya yang juga bapa kepada dua anak berusia dua dan tujuh tahun.

Berkongsi hala tujunya, Abdul Ghani berkata, selagi ada kudrat, dia akan terus berdakwah kerana yakin ia takdir yang tertulis buatnya.

"Ikutkan, rakan lama saya juga terkejut bagaimana saya boleh berubah sampai ke tahap beri ceramah kerana dulu, gaya hidup saya bukan begini.

"Sebagai Muslim, saya yakin apa dilalui dulu dan beradanya dalam bidang dakwah kini semuanya ketentuan Allah.

"Bagi saya, ia satu amanah yang Allah bagi untuk terus sebarkan syiar Islam walaupun tanggungjawab itu besar dan akan ada saja cabarannya.

"Cuma, saya tidak boleh sibuk berdakwah saja tetapi perlu seimbangkan hidup dengan terus menuntut ilmu sampai akhir hayat," katanya.

Sumber | HMetro
( Hide )
  1. Seeru ala barakatillah...doa untuk mu saudaraku tabahkan hati tingkatkan istiqamah dan ikhlas jannah menantimu

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo