BENTONG - Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon Menteri Besar Pahang jika dapat menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini tetapi enggan menamakannya pada waktu ini.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, calon dicadangkan itu sudah mendapat persetujuan tiga parti gabungan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas PRU15.
“Kita sudah pun ada calon Menteri Besar dalam kalangan tokoh PN, kita akan umumkan pada masa yang bersesuaian.
“Kami bersepakat dalam melantik calon Menteri Besar dan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga dalam keadaan yang mesra dan masing-masing bersepakat dan bertekad untuk menawan negeri ini,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Deepavali PN peringkat negeri di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, PN Pahang sudah pun selesai pembahagian kerusi dan calon yang akan bertanding di 14 Parlimen dan 42 DUN dan bagaimanapun bergantung kepada persetujuan PN Pusat.
“Calon yang kita putuskan untuk bertanding di Pahang mempunyai kredibiliti serta berkemampuan mendekati pengundi seterusnya dapat memenangi kawasan berkenaan.
“Kita sudah bersiap siaga membuka semua pusat operasi untuk berkempen di setiap Parlimen dan DUN serta strategi bagi menggempur kubu Barisan Nasional (BN) selepas mengumumkan calon nanti,” katanya.
Ditanya khabar angin PN akan meletakkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di kerusi Parlimen Jerantut, jelas beliau, itu hanyalah desas-desus.
“Itu desas-desus. Sebagai ahli parti, kita mesti mematuhi pucuk pimpinan tertinggi yang menentukan kawasan yang akan ditandingi.
“Saya pun ingin bertanding di Parlimen Temerloh, tetapi pucuk pimpinan PN meminta saya bertanding di Indera Mahkota sebelum ini,” ujarnya. #sumber
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment