KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin penyertaan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dalam Gerakan Tanah Air (GTA) mampu membantu gabungan parti politik itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Penaja GTA itu berkata keyakinan tersebut berpaksikan kepada jumlah keahlian IMAN yang ramai di seluruh negara, serta keinginan komuniti India Muslim untuk memastikan suara mereka didengari di peringkat kerajaan.
"Kita tahu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti IMAN ini tidak terlibat secara langsung dalam politik, cuma harapan mereka ialah perjuangan dan suara mereka akan diterima oleh mana-mana kerajaan yang memerintah negara.
"Jadi saya yakin komuniti India Muslim akan memainkan peranan yang besar dalam PRU15," kata bekas perdana menteri itu pada program majlis makan malam di sini malam tadi.
Turut hadir majlis itu ialah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden IMAN Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim.
GTA yang ditubuh pada 4 Ogos dan diketuai oleh Pejuang telah menyatakan pendirian sebelum ini akan meletakkan 120 calon di seluruh negara pada pilihan raya itu dengan lebih 30 peratus adalah calon muda.
Kesemua calon juga akan bertanding di atas tiket Pejuang memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran gerakan itu.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment