Penganalisis berbeza pandangan mengenai peluang Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pertandingan pelbagai penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Tambun, di mana sekurang-kurangnya seorang daripada mereka berkata meletakkan ketua pembangkang di kerusi majoriti Melayu tidak memberi jaminan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik veteran, Jeniri Amir berkata, ini kerana penyandang kerusi Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu serta calon yang dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN), Aminuddin Md Hanafiah, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk mengatasi presiden PKR itu.
Katanya, disebabkan kelebihan ini sukar untuk meramalkan pemenang bagi kerusi Tambun, sekali gus menjadikan Parlimen itu sebagai antara kawasan tumpuan utama pada PRU15.
Mengulas mengenai Faizal, Jeniri berkata, latar belakangnya sebagai anak jati Manjoi memberikan timbalan presiden Bersatu itu kelebihan dari aspek populariti dalam kalangan masyarakat.
"Beliau sebagai penyandang, mempunyai kelebihan di situ kerana pengundi dan penduduk sudah mengenalinya berbanding Anwar," katanya kepada MalaysiaNow.
"Beliau (Faizal) mempunyai rangkaian di situ dan sudah menjalankan tugas di kawasan terbabit, jadi tidak perlu memperkenalkan diri sangat."
Pada PRU14 Faizal atau lebih mesra dikenali sebagai Peja membuat kejutan apabila merampas kerusi Parlimen Tambun daripada BN kerana kerusi itu disifatkan sebagai salah satu kubu kuat Umno.
Pada ketika itu, Faizal meraih jumlah undi 38,661 dengan majoriti 5,320 sekali gus menewaskan Ahmad Husni Hanadzlah yang telah menyandang kerusi Parlimen Tambun selama lima penggal sejak April 1995, apabila beliau meraih 33,341 undi manakala Ibrahim Zakaria mewakili PAS memperoleh 14,948 undi.
Namun begitu, Jeniri berkata, BN juga berpeluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen itu memandangkan kejayaan Bersatu pada 2018 yang pada ketika itu berada dalam komponen PH didorong oleh sentimen politik.
Katanya, memandangkan momentum isu besar yang berkaitan seperti skandal 1MDB dan salah laku Najib Razak semakin berkurangan, ini akan memberi ruang kepada BN untuk bangkit meraih sokongan di kawasan itu.
"Keadaan juga akan memihak kepada BN jika peratusan undi rendah.
"Ditambah dengan pencalonan muka baru seperti strategi yang digunakan pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor, ini juga akan memberikan kelebihan," katanya.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berpandangan langkah PH untuk mempertaruhkan Anwar di Tambun bukanlah sebuah keputusan yang dibuat secara melulu.
Katanya, sudah tentu PH atau PKR mengkaji terdahulu impak kehadiran Anwar dan partinya ke kawasan itu sebelum bertindak sedemikian.
"Saya jangkakan pertembungan tiga penjuru di Tambun antara PN-PH-BN sangat sengit," katanya.
Menurut Awang, langkah ini juga dilihat sebagai satu mesej besar bagi parti-parti komponen PH seperti Amanah dan presidennya, Mohamad Sabu, DAP dan pengerusinya, Lim Guan Eng atau Rafizi Ramli dari PKR supaya mengambil tindakan yang sama.
"Sebab ada yang mengaku diri sebagai pengubah permainan, pakar strategi dan popular sekadar bertanding di kawasan selamat.
"Ekoran ini, Rafizi misalnya, wajar bertanding di kawasan seperti
Batu Pahat sebab ini boleh memberi impak kepada kerusi Parlimen di Muar
dan Sri Gading," katanya merujuk kepada kerusi-kerusi Parlimen di Johor.
....
https://www.malaysianow.com
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment