Saat ini kita sekalian rakyat Malaysia akan berhadapan dengan Pilihanraya Umum ke 15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022 dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kemungkinan banjir yang bakal melanda negara khususnya di Pantai Timur.
Pilihanraya umum ini juga bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan berikutan ketidaktentuan suasana dan pergolakan politik negara yang menggangu gugat kestabilan dalam negara.
Saya cukup tertarik apabila membaca surah Al - Hajj di dalam Al-Quran. Ianya satu - satunya surah yang dinamakan dengan nama ibadah yang terdapat di dalam rukun Islam iaitu ibadah haji dan didalamnya juga dibangkitkan perihal siasah atau politik.
Allah SWT memulakan firmanNya di dalam surah ini dengan mengingatkan kita akan perihal dahsyatnya apabila berlakunya Hari Qiamat sehinggakan memperumpamakannya dengan ibu yang menyusukan anak melupainya dan ibu yang mengandung gugur kandungannya kerana terlalu dahsyat peristiwa tersebut.
Kedahsyatan Hari Qiamat ini digambarkan sebahagiannya di dalam ibadah haji khususnya ketika wuquf di Arafah. Ketika wuquf di Arafah, kita melihat lautan manusia berhimpun dengan banyaknya sementara menunggu untuk bergerak ke Muzdalifah.
Begitulah keadaan manusia kelak apabila dibangkitkan di Padang Mahsyar sementara menunggu untuk dihisab di hadapan Allah SWT. Lautan manusia akan memenuhi Padang Mahsyar kelak, dari seawal – awal kejadian hingga yang terakhir menunggu penghakiman Allah SWT.
Di dalam ayat 41 surah Al-Hajj, Allah SWT menyebut pula berkaitan dengan politik. Allah SWT menerangkan tentang ciri –ciri pemerintah yang diredhai olehNya iaitu pemerintah yang menjaga hubungannya dengan Allah SWT dan menjaga kebajikan rakyat yang berada di bawah pemerintahannya.
Allah SWT juga menyebut bukan sekadar itu malah secara jelas turut menyebut bahawa pemerintah perlu melaksanakan peraturan yang menggalakkan rakyat melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Di sini jelas menunjukkan bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam bahkan ianya adalah satu ibadah yang mendapat pahala jika sekiranya mengikut lunas-lunas syara’ dan bukannya menjadikan hawa nafsu sebagai asas.
Di Hari Qiamat kelak bukan sahaja orang yang solat, berpuasa, menunaikan zakat dan haji akan dimasukkan ke dalam syurga bahkan juga pemimpin dan ahli politik yang mengikut landasan agama akan beroleh ganjaran yang sama bahkan lebih daripada itu lagi.
Pemimpin yang adil adalah golongan pertama yang akan berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar kelak sebagaimana yang tsabit di dalam hadis yang sahih.
Falsafah ibadah bukan hanya untuk mendekatkan diri kita dengan Allah SWT bahkan juga untuk kepentingan penyatuan umat Islam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, bangsa dan warna kulit.
Saat ini kita melihat pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapi oleh dunia dan umat Islam namun sebenarnya sebahagian besar daripadanya adalah berpunca dari umat Islam itu sendiri yang sanggup setia dengan musuh – musuh Islam dan dalam masa yang sama sanggup bermusuh sesama Islam.
Sesungguhnya disaat terlalu banyak ujian dan cabaran yang melanda dunia dan umat Islam kini, kita seharusnya melihat dan menilai kembali pesanan dan gesaan Allah SWT dalam surah Al – Hajj serta meninjau kembali peranan dan maksudnya kepada kita umat Islam terutamanya berkaitan politik.
Penyatuan, ciri–ciri kepimpinan dan politik Islam yang tersirat dalam surah Al -Hajj patut kita ambil dan realisasikan sebagai sebahagian daripada asas dan modul sebuah negara Islam yang dinamik dan di redhai Allah SWT.
Manakala kisah kegerunan dan kedahsyatan Hari Qiamat pula perlu kita ambil sebagai iktibar dan sempadan agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang kufur dan dimurkai Allah SWT kerana pembalasan mahupun nikmat yang dikurniakan Allah SWT selepas kita dibangkitkan semula benar belaka.
Namun apabila berbicara tentang Hari Qiamat, usah kita lupa pula kepada tanda–tanda hampirnya Qiamat. Beribadah dan lakukanlah kebaikan ketika kudrat masih ada dan selagi bernyawa kerana apabila tibanya Hari Qiamat mahupun setelah dicabut nyawa, semuanya sudah terlambat.
Maka bersempena dengan pilihanraya umum kali ini, marilah kita sama-sama mengambilkira maksud yang ternukil dalam Surah Al Hajj terutamanya berkaitan politik iaitu ciri-ciri kepimpinan dan pemerintahan yang diredahi Allah SWT serta hubungan pemerintah dengan rakyat.
Pemerintah yang adil, amanah, jujur dan bertakwa sewajar adalah ciri-ciri pemerintah yang diredhai Allah SWT di samping menjaga kebajikan rakyat dan hubungan sesama manusia. Oleh itu, pilihlah pemimpin yang tergolong dalam golongan yang bertakwa dan diredhai Allah SWT.
Jauhi pemimpin yang tidak mempunyai intergriti, tidak amanah, adil dan jujur, tidak menjaga hubungan sesama manusia apatah lagi kepada Allah SWT dan yang paling penting, jauhi pemimpin yang penuh korupsi serta terbabit dengan rasuah.
Perbanyakkan doa dan istighfar, semoga pilihan kita dalam pilihanraya kelak mampu membawa perubahan yang menjamin masa hadapan kita.
Semoga kita memperolehi kejayaan di dunia mahupun akhirat.
“ Ingat 19 November, Undi Perikatan Nasional “
Malaysia Sejahtera.
YB Dr, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Artikel juga boleh di akses di Harakahdaily.
https://harakahdaily.net/index.php/2022/10/29/pengajaran-politik-dari-surah-al-hajj-2/
No comments
Post a Comment