Bendera dan kain rentang parti-parti politik menyambut kedatangan penduduk dan orang ramai di pintu masuk Manjoi, menandakan kehangatan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kian dirasai.
Manjoi terletak di timur laut bandar raya Ipoh, Perak dan kini digelar sebagai Gugusan Manjoi iaitu kawasan perkampungan Melayu terbesar di Malaysia selepas pertambahan pesat populasi penduduk setempat.
Berada dalam kawasan Parlimen Tambun, gugusan itu mempunyai kira-kira keluasan sebanyak 560.8 hektar merangkumi Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato Ahmad Said dan Kampung Jelapang Baru.
Seorang peniaga makanan di pekan Manjoi, Abdul Hamid berkata kawasan itu pernah mengalami kemuduran dan pergerakan ekonomi yang perlahan sekitar 20 tahun lalu jika dibandingkan dengan bandar terdekatnya, Ipoh.
Bagaimanapun, selepas dua dekad berlalu, katanya kampung itu semakin rancak membangunkan ekonomi dengan majoriti penduduk bekerja sendiri dan terlibat dalam sektor industri.
Manakala yang lain ramainya bertugas sebagai penjawat awam seperti di hospital, sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan.
"Sekarang ni penduduk Manjoi sudah baik maknanya ada kemajuan. Boleh hidup walaupun kerja sendiri. Boleh bantu satu sama lain.
"Buktinya, ada pasar raya besar berani buka perniagaan di dalam Gugusan Manjoi. Kalau tak maju, macam mana mereka berani nak datang ke sini?" katanya kepada MalaysiaNow sewaktu tinjauan ke kampung itu baru-baru ini.
Menurut Hamid lagi, sejak Tambun pertama kali menjadi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) tahun 1986, rakyatnya mempunyai pengalaman dijaga oleh wakil rakyat dari pelbagai parti politik.
Ini termasuk kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh PAS dan PKR.
Parlimen Tambun ditandingi PKR sejak tahun 2008 sebelum diserahkan kepada Bersatu pada PRU14.
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan penyandangnya Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dari Umno.
Ini menjadikan BN pertama kali tewas dalam mempertahankan Parlimen tersebut sejak PRU7.
Mahu calon dari Tambun
Pada 20 Oktober lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 dengan mengatakan gabungan itu yakin untuk menang dan merampas Tambun serta negeri Perak.
Menurut Anwar, Perak akan diangkat menjadi negeri yang maju seperti Pulau Pinang dan Selangor, jika PH diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri itu.
Bagaimanapun, Hamid menegaskan dia sebagai anak jati Kampung Manjoi tidak teruja dengan pengumuman tersebut.
Katanya, sudah menjadi satu tradisi bagi Parlimen Tambun dimenangi oleh penduduk asalnya dan bukan milik "orang asing."
"Saya meniaga di sini nampak wakil rakyat lalu hari-hari. YB Asmuni Awi tu duduk dekat saja. Bekas ahli Parlimen BN pun kami di sini kenal.
"Calon yang menang dan kalah tetap kerja macam biasa, membantu rakyat sebab mereka asal orang sini. Mereka pasti tolong orang kampung.
"Kalau (Anwar) bertanding di sini, kenapa nak tukar tempat? Majukan dahulu Port Dickson. Macam mana nak bangunkan kalau asyik pindah tempat?"
Hamid juga salah seorang wakil penduduk yang aktif dengan kerja-kerja kebajikan di kampung termasuk menggerakkan kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak dan golongan dewasa tanpa bayaran.
Ketika ditanya, apa yang menyebabkan calon Bersatu boleh menewaskan Umno pada pilihan raya lepas, dia menegaskan ianya disebabkan aura kebangkitan PH semata-mata.
Katanya, Faizal amat dikenali dalam kalangan penduduk di Gugusan Manjoi memandangkan beliau merupakan anak jati kampung tersebut.
"Ayahnya juga orang sini, datuknya juga orang kuat kampung. Pakciknya juga disenangi orang kampung.
"Rumahnya tu pergi sahaja, akan ada yang menyambut. Bukan wakil rakyat pun dia sedia bantu.
"Sebab itu penting kena pilih orang sini bukan orang luar. Apabila susah, senang nak minta pertolongan."
Sementara itu, seorang pemuda mahu dikenali sebagai Yatim memberikan reaksi bagaikan tidak mengenali nama-nama calon Parlimen Tambun pada PRU15 kali ini.
Berbeza dengan Anwar, kata anak jati Manjoi itu dia mengenali Faizal.
"Kalau Peja saya tahu," selorohnya merujuk kepada nama samaran Faizal di kawasannya.
Menurut Hafiz, Faizal dikenali hampir seluruh penduduk di situ dan mudah mesra dengan setiap golongan masyarakat.
Disebabkan itu, katanya, Faizal sentiasa mudah mendapat sokongan dan bantuan moral daripada penduduk setempat terutamanya golongan muda.
"Tapi undi saya tetap rahsia," katanya.
........
https://www.malaysianow.com
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment