NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin muda DAP, Umno dijangka bertembung di Gerik


Kerusi Parlimen Gerik dijangka menyaksikan pertembungan antara dua pemimpin "muda" Umno dan DAP pada PRU15.

Menurut sumber, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki “hampir pasti” menjadi calon BN bagi kerusi majoriti Melayu itu.

Parlimen Gerik yang kosong sejak November 2020 dilihat sebagai kerusi selamat untuk pemimpin Umno berusia 46 tahun itu, menurut sumber parti.

“Setakat ini Asyraf hampir disahkan bertanding di Gerik...ini adalah kerusi selamat untuknya.

“Namanya telah dihantar kepada pimpinan parti untuk pertimbangan selanjutnya,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Walaupun keahlian Pemuda Umno dihadkan kepada anggota berumur 40 tahun ke bawah, tiada had umur untuk jawatan ketuanya.

Asyraf berusia 42 tahun ketika menang jawatan itu ketika pemilihan Umno pada 2018.

Dalam PRU14, Asyraf tewas di Parlimen Pasir Puteh kepada Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dari PAS dengan perbezaan 1,360 undi.

Pada 2008, dia bertanding di Parlimen Tumpat dan juga tewas.

Dia dilantik sebagai senator untuk menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal agama dari 2015 hingga 2018

Penghijrahan Asyraf ke Perak akan memberikan peluang yang lebih baik kepadanya untuk masuk ke Dewan Rakyat.

Gerik memang kubu kuat BN sejak kerusi itu diwujudkan pada 1974.

Pada 2018, Hasbullah Osman dari Umno menang di situ dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 5,528 undi.

Hasbullah Osman

Dia meninggal dunia pada 16 November 2020. PRK tidak dilakukan susulan pengisytiharan darurat ketika penularan wabak Covid-19.

Dalam PRU lalu, Gerik merupakan satu daripada tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan PH kepada Bersatu.

Mengambil kira demografi pengudi, calon yang bertanding biasanya adalah calon Melayu. Namun PH dilihat membuat pertaruhan apabila memperuntukkan kerusi itu kepada DAP - parti yang sering berdepan dakwaan anti-Melayu dan anti-Islam.

Jalan sukar untuk DAP

Sementara ada pemimpin Melayu dalam DAP Perak, parti itu meningkatkan lagi risiko di kerusi itu apabila dikatakan akan mencalonkan bekas ketua pemudanya, Howard Lee.

Lee, 39, merupakan Adun Pasir Pinji.

Malaysiakini difahamkan ketua DAP Perak telah mengumumkan pencalonan Lee di Gerik semasa mesyuarat dalaman pada akhir bulan lalu.

Sumber DAP maklum ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk DAP. Namun, Lee dikenali fasih berbahasa Melayu dan pada tahap tertentu popular dalam arena politik nasional, yang dilihat memberi kelebihan kepadanya.

Berdasarkan data pada 2018, daripada 30 peratus pengundi bukan Melayu di kawasan itu, hanya 14 peratus adalah Cina. Sebanyak 13 peratus lagi adalah etnik Siam dan tiga peratus adalah India.

Pengundi Cina adalah asas sokongan utama DAP di kawasan luar bandar.

Sungguhpun begitu, kawasan itu pernah memiliki ahli parlimen Cina sebelum ini, iaitu Tan Lia Hoe dari Gerakan pada 2008. Umno kemudian mengambil semula kerusi yang dipinjamkan itu pada PRU 2013.

Secara umumnya, DAP hanya membenarkan kepimpinan tertingginya untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN.

Namun, sumber DAP membayangkan pengecualian diberikan kepada Lee, yang dilihat sebagai pemimpin meningkat naik dalam parti itu.

Ketika dihubungi, Lee enggan mengulas mengenai kemungkinan dicalonkan di kubu kuat BN itu.

“Semuanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti. Saya akan ikut keputusan mereka,” katanya ringkas.

Sementara itu, Asyraf kelihatan terkejut apabila ditanya mengenai bertanding di Perak.

Asyraf ketika dihubungi berkata dia kini menumpukan perhatian kepada persiapan jentera pilihan raya BN Pasir Puteh dan tiada pengetahuan berkenaan senarai calon Umno.

“Saya serahkan perkara ini kepada pimpinan. Walaupun saya tidak ditugaskan untuk bertanding, saya okey dengan keputusan itu. Saya orang parti dan saya akan ikut keputusan.

“Apa pun keputusannya, saya mahu pastikan Pasir Puteh akan dimenangi BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi membincangkan dan menentukan tarikh PRU15.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo