NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemeriksaan Mata: Adakah Orang Malaysia Tahu Dan Faham Kepentingannya?

Di Malaysia, kondisi yang paling dirisaukan oleh penduduk adalah masalah penglihatan dengan 95% individu yang menjalani pemeriksaan ini adalah untuk tujuan tersebut.

Ia diikuti pula dengan kondisi mata gatal (13%), mata kering (10%), katarak (7%), jangkitan mata (5%), diabetik retinopati (4%), glaukoma (3%) dan degenerasi makular (1%).

Di negara ini juga, kondisi yang banyak dialami oleh penduduk adalah masalah penglihatan dengan 92% individu didapati menghidapinya selepas menjalani periksa mata.

Ia dituruti pula dengan kondisi mata gatal (17%), mata kering (14%), katarak (5%), jangkitan mata (3%), diabetik retinopati (2%), glaukoma (2%) dan degenerasi makular (1%).

Dalam erti kata yang lebih mudah, lebih 90% penduduk di negara kita bimbang dan dalam masa yang sama mengalami kondisi masalah penglihatan seperti rabun jauh, rabun dekat dan sebagainya.

Apa yang kita semua patut tahu & buat tentangnya?

Untuk pengetahuan anda, kepentingan pemeriksaan ini adalah untuk mengesan sebarang masalah berkaitan organ ini pada peringkat awal – di saat ia boleh lagi dirawat.

Ini sangat penting dan perlu dijadikan rutin agar kita semua dapat memperbaiki sebarang masalah penglihatan di samping mengetahui keadaan kesihatan tubuh badan.Menurut American Academy of Ophthalmology, individu perlu memeriksa mata berpandukan:

Bayi dan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun

Sebagai ibu bapa, anda perlu membawa anak berjumpa pakar pediatrik untuk memeriksa masalah mata biasa di usia muda seperti mata malas, mata juling atau mata tidak selaras.

Di antara usia anak 3 ke 5 tahun pula, mereka perlu mendapatkan periksa mata yang lebih komprehensif bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang masalah penglihatan.

Budak sekolah

Sebelum mereka mula masuk ke alam prasekolah (biasanya pada usia 6 tahun), sila pastikan anda membawa anak berjumpa pakar mata untuk menjalani pemeriksaan organ ini.

Kemudian, doktor pula yang akan menentukan seberapa kerap pemeriksaan itu perlu dijalankan berdasarkan kondisi mata anak anda agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

Orang dewasa

Jika anda adalah seorang yang sihat dan mungkin tiada simptom berkaitan masalah pada mata, anda disarankan untuk mula melakukan pemeriksaan mata pada usia 40 tahun.

Doktor juga akan menentukan kekerapan pemeriksaan ini berdasarkan keputusannya namun adalah tidak salah untuk anda melakukan dengan lebih awal.

Warga emas

Buat warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, sila lakukan pemeriksaan ini sekurang-kurangnya 1 atau 2 kali dalam masa setahun tidak kira bagaimanapun kondisi mata anda.

Tanpa mengira usia pula, anda mungkin perlu buat prosedur ini dengan lebih kerap jika anda:

  • Menggunakan cermin mata atau kanta lekap
  • Menghidapi penyakit yang kronik seperti diabetes
  • Mempunyai sejarah keluarga dengan masalah mata
  • Mengambil ubatan @ rawatan dengan kesan sampingan serius pada mata

COVID-19 dan kesannya terhadap pemeriksaan mata

Sebelum COVID-19 melanda seluruh dunia, tinjauan kami menunjukkan 39% penduduk Malaysia melakukan periksa mata sekali setahun diikuti sekali dalam 2-3 tahun (19%), sekali dalam 4-5 tahun (8%) dan 34% lagi tidak ingat jika ada melakukannya.

Sebelum era pandemik ini juga, 25% ibu bapa membawa anak mereka untuk periksa mata sekali setahun diikuti sekali dalam 2-3 tahun (13%), sekali dalam 4-5 tahun (8%) manakala 54% lagi kurang pasti tentangnya.

Ini menandakan bahawa sebelum COVID-19 melanda, ramai orang di Malaysia sudah sedar, tahu dan faham mengenai kepentingan pemeriksaan mata terhadap individu.

Namun dengan kedatangan pandemik ini, ia mungkin akan menjejaskan rutin pemeriksaan ekoran penutupan pusat kesihatan atau ketakutan untuk pergi ke tempat tersebut.

Sewajarnya, pemeriksaan ini masih perlu diteruskan di era pandemik ini dengan kaedah yang lebih selamat dan efektif agar kesihatan mata dapat dipastikan dengan baik.

Sekiranya anda tidak pernah periksa mata…

Tidak dinafikan, masih ada segelintir individu di Malaysia yang tidak tahu atau tidak mahu untuk menjalani pemeriksaan ini atas alasan tertentu dan perkara ini perlu diubah.

Berdasarkan tinjauan kami lagi, difahamkan bahawa mereka mungkin akan pergi melakukannya jika ada masalah penglihatan (74%), wujud simptom pada mata (25%), promosi di klinik mata (19%), saranan daripada orang lain (15%) dan lain-lain (3%).

Sebenarnya, kalian mungkin tidak perlu untuk menunggu sehingga perkara di atas terjadi sebelum pergi membuat pemeriksaan kerana mungkin ketika itu anda akan terlambat.

Sebaliknya, sila buat pemeriksaan ini dengan lebih kerap dan berpandukan pada informasi dan nasihat daripada doktor agar kesihatan mata anda akan lebih terjamin.

Sumber | Hellodoktor.com

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo