NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembantu menteri Sabah sah keluar BERSATU


KOTA KINABALU:
Seorang Pembantu Menteri kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili BERSATU disahkan keluar parti, hari ini.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda, itu disahkan Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun, malam tadi.

Masidi yang juga Setiausaha Agung GRS menjawab 'ya' melalui aplikasi WhatsApp ketika diminta mengesahkan sama ada berita yang tular mengenai Wetrom keluar BERSATU semalam benar atau sebaliknya.

Ia selepas Wetrom dilihat menghadiri program Parti Warisan (WARISAN) bersama pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu di Matunggong, Kudat, pagi semalam.

Difahamkan, Wetrom yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, berbuat demikian kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Wetrom yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada PRN-16 Sabah, dikatakan mahu merebut kerusi Parlimen Kota Marudu selepas penyandang yang juga Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili, berundur dan menyerahkan kerusi itu kepada BERSATU.

Bagaimanapun, difahamkan PBS kekal bertanding di kerusi berkenaan dan dijangka terus dipertahankan Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

PBS turut menguasai dua kerusi DUN dalam Parlimen berkenaan iaitu Matunggong dan Tandek, manakala satu oleh BERSATU iaitu kerusi DUN Bandau yang diwakili Wetrom.

BERSATU dan PBS bekerjasama dalam GRS bersama tiga parti lain iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Ketika ini, GRS sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) mengenai agihan kerusi antara dua gabungan berkenaan bagi mengelak pertembungan pada PRU-15.

Wetrom dijangka mengadakan sidang media mengenai tindakannya itu awal minggu depan.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo