Perikatan Nasional (PN) selesai memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan tiga parti komponen di Semenanjung Malaysia - Bersatu, PAS dan Gerakan.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ketiga-tiga parti terbabit menunjukkan toleransi dan rasa hormat yang tinggi sepanjang proses rundingan berlangsung.
Dengan semangat itulah, katanya, PN mencapai kata sepakat untuk memuktamadkan pengagihan kerusi dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi gabungan tersebut di Petaling Jaya hari ini.
"Pembahagian kerusi telah selesai. Nanti dalam beberapa hari akan datang kami akan tetapkan tarikh untuk setiap negeri masing-masing mengumumkan, bukan sahaja (pembahagian) kerusi tetapi juga calon-calonnya. Semuanya atas nama PN," katanya kepada media yang menunggu di Ibu Pejabat Bersatu.
Pada masa sama, kata presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu lagi, PN mengarahkan jentera dan ahli parti di semua peringkat untuk bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.
"Kalaupun (misalnya) di situ calon Bersatu yang bertanding, PAS dan Gerakan akan membantu.
"Ini untuk memperkukuh lagi langkah PN bagi memastikan jentera kita dalam keadaan mantap," katanya.
Dalam perkembangan lain Muhyiddin memberitahu semua calon PN di Kelantan dan Terengganu akan bertanding menggunakan logo PAS.
Bagaimanapun tambah penyandang kerusi parlimen Pagoh itu, Kedah - walaupun diketuai oleh PAS - akan bertanding menggunakan logo PN, sama seperti negeri-negeri lain.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang turut hadir dalam mesyuarat tadi, enggan bercakap kepada media yang cuba mendapatkan komennya.
Abdul Hadi memberitahu dia tidak dapat menjawab soalan wartawan kerana mengalami masalah sakit tekak.
Pemimpin lain yang ada termasuklah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, naib presiden parti itu, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment