GEORGE TOWN: Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP selama tiga penggal dilihat sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH), namun ia tidak menutup peluang parti-parti lain untuk menembusi negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata Tasek Gelugor, Nibong Tebal dan Bayan Baru antara kerusi Parlimen yang terbuka untuk berlaku saingan sengit antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menguasai kerusi tersebut.
“Kalau diletakkan calon yang sesuai di kawasan tersebut, yang ada reputasi, kredibiliti, kewibawaan yang mungkin memegang jawatan tinggi dalam parti, itu akan memberikan nilai tambah kepada parti (bukan PH) untuk menguasai kerusi tersebut,” katanya kepada Bernama.
Pada PRU14, wakil PH mendominasi kerusi Parlimen Pulau Pinang iaitu daripada keseluruhan 13 kerusi, DAP memenangi tujuh kerusi dan PKR empat manakala BN menerusi UMNO memenangi dua kerusi.
Kerusi Parlimen Bayan Baru dan Nibong Tebal dimenangi PKR menerusi Sim Tze Tzin dan Mansor Othman manakala kerusi Tasek Gelugor dimenangi Shabudin Yahaya yang bertanding atas tiket Umno.
PKR dan Umno masing-masing kehilangan satu kerusi apabila Mansor dan Shabudin menyertai Bersatu.
Sivamurugan melihat penguasaan DAP di kerusi-kerusi yang kini disandang parti itu sukar digugat seperti Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor.
Seorang veteran Umno, Abdul Rashid Ismail berkata, tiada istilah kerusi selamat dalam politik kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam dunia politik.
Beliau berkata sejarah menunjukkan Pulau Pinang mempunyai trend untuk menukar kerajaan iaitu daripada menyokong MCA pada PRU pertama hingga ke 1968 mereka telah menukar kepada parti Gerakan.
“Kemudiannya dari PRU12, mereka (pengundi Pulau Pinang) telah menukar sokongan kepada DAP. Ini memberi maksud sebarang kemungkinan boleh berlaku kerana yang menentukan kemenangan calon ialah pengundi,” katanya.
Abdul Rashid yang juga Yang DiPertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Pulau Pinang berkata, kerusi Umno adalah selamat jika orang Umno benar-benar ikhlas dan menyokong calon yang mewakili BN.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, Undi18 turut menjadi tumpuan dalam PRU15 di Pulau Pinang kerana kebanyakan mereka adalah ‘atas pagar’ dan kebarangkalian untuk mereka keluar mengundi juga masih belum dapat dijangka.
Beliau berkata, ejen sosialisasi yang boleh mempengaruhi pengundi muda tersebut adalah seperti keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, agensi kerajaan, media dan pemimpin parti.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, lebih 68,000 pengundi daripada lebih 1.2 juta pengundi berdaftar di Pulau Pinang adalah dalam lingkungan umur 18 hingga 20 tahun.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment