Pilihan raya umum kali ini bukan sekadar saingan BN dan PAS kerana PKR sudah mampu bertapak di Perlis pada PRU14. - Foto hiasan |
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka bakal menyaksikan Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran sengit di Perlis dengan setiap kerusi, sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) diramal membabitkan pertembungan banyak penjuru.
Walaupun dianggap antara kubu kuat dan selama ini dilihat sebagai simpanan tetap BN, gabungan berkenaan tidak boleh memandang ringan ancaman lawan yang sentiasa mengintai peluang menawan negeri paling utara di Semenanjung itu, selain merebut kerusi Parlimen.
Mentadbir Perlis sejak selepas merdeka, BN sudah pasti mahu terus mengekalkan mandat majoriti dalam DUN di negeri berpopulasi sekitar 259,000 penduduk itu, juga mengekalkan dua kerusi Parlimen, iaitu Arau dan Padang Besar selain merampas kembali Kangar.
Daripada 15 kerusi DUN, antara dianggap simpanan tetap BN adalah Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer, Santan, Bintong, Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis, Kayang, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.
PRU14 menyaksikan beberapa kerusi yang dianggap kubu kuat BN sebelumnya 'digegarkan' dengan kebangkitan pembangkang apabila lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen jatuh ke tangan lawan.
PKR berjaya merebut DUN Sena, Kuala Perlis dan Indera Kayangan, PAS pula menawan DUN Guar Sanji dan Sanglang, manakala PKR berjaya menang kerusi Parlimen Kangar buat julung kalinya.
PRU15 dijangka menjadi medan tempur pelbagai gabungan parti dan untuk pertama kali, Parti Warisan (WARISAN) berpangkalan di Sabah dilapor akan meletakkan calon, selain blok utama Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Tiada lagi saingan hanya di antara BN dan PAS seperti lazimnya kerana PKR sudah mula bertapak. AMANAH, DAP dan BERSATU juga mengintai peluang, namun dilihat masih jauh untuk memikat hati pengundi sebaris pencapaian BN, PAS mahupun PKR.
Kejayaan PKR jadi tonik PH
Kemenangan PKR meraih tiga kerusi DUN dan satu Parlimen pada PRU14, menjadi tonik buat PH melebarkan sayap kemenangannya, namun BN dijangka tidak menghadapi masalah terus mengekalkan kerusi disandang dan merampas kembali kerusi ditawan pembangkang.
GTA diterajui Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) ingin mengelak pertembungan sesama parti lawan BN lalu mempelawa kerjasama dpadai peringkat negeri, dengan kemungkinan cadangan itu menjadi realiti tetap terbuka selagi hari pengundian belum tiba.
BN dijangka mampu terus mengekalkan Parlimen Arau dan DUN di bawahnya seperti Pauh, Simpang Empat, Tambun Tulang, namun diramal menghadapi saingan sengit di Guar Sanji dan Sanglang.
Bagi Parlimen Padang Besar, BN juga dijangka mampu meneruskan rentak kemenangan di semua kerusi DUN, kecuali Titi Tinggi apabila kerusi tradisi MCA itu makin kehilangan sokongan pengundi Cina.
Wakil MCA penyandang kerusi DUN Titi Tinggi, Teh Chai Aan hanya menang dengan majoriti 142 undi pada PRU14. Ia mendorong UMNO Padang Besar mendesak kerusi itu diambil alih UMNO atas alasan itulah hasrat majoriti pengundi Melayu di Titi Tinggi.
Saingan di Parlimen Kangar dilihat agak terbuka di antara BN dan PKR. BN sudah pasti mahu merampas kembali kerusi yang terlepas ke tangan parti lawan itu, selain menembusi kubu kuat PKR sejak dua penggal lalu, iaitu DUN Indera Kayangan.
Bagi Parlimen Arau, cakap-cakap politik menyebut penyandangnya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dijangka terus dicalonkan untuk kali kelima selepas memang kerusi itu pada PRU 1986 dan mempertahankannya pada PRU 1990, 2013 dan 2018.
Walaupun ada pihak mendakwa bekas Menteri Besar Perlis pada 1995 sehingga Mac 2008 itu sudah tidak relevan di Arau, beliau dilihat masih mempunyai sokongan dan pengaruh kuat yang menjadi tiket untuk sekali lagi dicalonkan bertanding di kubu kuatnya itu.
Di Parlimen Padang Besar, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang menyandang kerusi berkenaan, juga dijangka dikekalkan. Apatah lagi, semua lima DUN di kawasan itu juga disandang BN dan penyandang turut dijangka dicalonkan semula pada PRU15.
Bagi Parlimen Kangar, Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Kangar, Datuk Seri Azlan Man disebut-sebut bakal dicalonkan dalam langkah dikatakan rombakan besar-besaran selepas banyak kerusi berkenaan dan banyak kerusi DUN di situ jatuh kepada pembangkang pada 2018.
Menghangatkan suasana, Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya disebut-sebut akan membuat kemunculan semula selepas kalah di DUN Sanglang pada PRU13.
Dengan imej, gaya dan pemikiran politik yang segar, terdapat desas-desus bahawa Fathul Bari mungkin calon Menteri Besar baharu sekiranya BN kembali berkuasa di Perlis dan Azlan dicalonkan di Parlimen Kangar.
Grafik BH |
Giat rancang strategi
Di kem pembangkang, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah memaklumkan akan bertanding di DUN Kuala Perlis, selain mendakwa BERSATU akan membawa Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Azmi Khalid dan Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail menjadi calon parti itu.
PAS pula masih berteka-teki mengenai senarai calon, namun penyandang kerusi DUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim dijangka terus dikekalkan di kerusi sama, manakala Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli pula masih samar sama ada bertanding atau tidak.
PKR dijangka mengekalkan penyandang kerusi Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad; penyandang kerusi DUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling; DUN Sena, Asrul Nizan Abd Jalil dan DUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap.
WARISAN Perlis dilaporkan mengintai enam hingga tujuh kerusi DUN dengan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Khalid Ahmad atau 'Pak Lid' sudah mengumumkan akan bertanding mewakili parti itu di DUN Pauh.
Sumber I BH Online
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment