Penyandang Ahli Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu menuntut Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya mengenai Israel.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum yang dijadualkan bulan depan.
Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Faizal mencabar Anwar menarik balik kenyataannya berhubung jaminan keselamatan terhadap negara Israel.
Ahmad Faizal merujuk kepada wawancara antara Anwar dengan Wall Street Journal pada 2012 di mana presiden PKR itu berkata: "Saya menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."
Laporan itu menyatakan bahawa Anwar berhenti sejenak sebelum berkata bahawa Malaysia sepatutnya mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel - "satu langkah yang menurutnya bergantung kepada Israel untuk menghormati aspirasi rakyat Palestin".
Ahmad Faizal berkata Anwar perlu menjelaskan jika dia masih kekal dengan pendirian itu.
"Persoalan ini menjadi lebih serius memandangkan Anwar telah dinamakan calon PM bagi Pakatan Harapan bagi PRU15.
"Adakah beliau sedia menarik balik kenyataan beliau tersebut serta berjanji kepada rakyat tidak akan berkompromi dengan Israel," kata Ahmad Faizal.
Sementara itu Ahmad Faizal turut meminta penjelasan PKR dan PH susulan penahanan beberapa individu yang dipercayai agen Mossad baru-baru ini.
Dia berkata PKR dan PH perlu menjelaskan apakah terdapat penyokong mereka terlibat memberikan sokongan kepada Israel atau Zionis.
Faizal juga membangkitkan kenyataan salah seorang Ahli Dewan Negara DAP, Nga Hock Cheh pada 2019 yang mencadangkan Malaysia supaya membuka kedutaan di Israel.
Nga dilapor berkata demikian ketika menyokong gesaan Anwar supaya Malaysia menubuhkan kedutaan di Palestin. Nga bagaimanapun menarik balik kenyataannya.
Malaysia tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel walaupun perdagangan tidak formal dan terhad antara negara itu dijalankan.
Faizal, 52, mempunyai sejarah panjang sebagai aktivis pro-Palestin. Pada 2010, dia ditangkap oleh tentera Israel di atas kapal ketika dalam perjalanan menyampaikan bantuan ke Gaza.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment