NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pegawai Pemimpin UMNO tampar Ahli, Pemuda Jempol lapor polis


JEMPOL-
Pemuda UMNO Jempol kecewa dengan tindakan pegawai kepada seorang pemimpin bahagian berkenaan yang didakwa menampar seorang ahli akar umbi parti itu pada Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol di sebuah hotel di sini sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bahau.

Ketua Pemuda UMNO Jempol, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, tindakan individu tersebut dipercayai dilakukan selepas tidak berpuas hati dengan ucapan ahli berkenaan semasa persidangan pagi tadi.

"Kami dengan sekeras-kerasnya menolak politik samseng seperti yang ditunjukkan oleh pegawai berkenaan.

"Kami mendesak agar pegawai tersebut dipecat serta-merta dan perlu meletakkan jawatan dalam jawatankuasa bahagian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Zaidy yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, dengan status kepada pemimpin bahagian sudah semestinya tindak-tanduk pegawai berkenaan akan memberi cerminan tidak baik di mata pengundi di kawasan ini.

"Apa pun, Pemuda UMNO Jempol ingin memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara ahli akar umbi dan sama sekali menolak politik samseng seperti itu.

"Malah, Presiden dan Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan sentiasa terbuka serta menerima apa sahaja pandangan ahli akar umbi asalkan ia adalah demi kepentingan UMNO secara keseluruhannya.

"Sifat terbuka pemimpin nombor satu dan dua UMNO itu wajar dijadikan contoh kerana mereka tidak pernah menekan ahli parti sebaliknya sentiasa menggalakkan ahli akar umbi untuk bersuara serta memberi apa jua pandangan untuk parti," katanya.

Oleh itu, katanya, teruslah bersuara kerana UMNO adalah sebuah parti keramat yang ditubuhkan melalui suara rakyat secara keseluruhannya.

"Sama-samalah kita menolak sesiapa sahaja di dalam parti yang mendukung amalan politik tidak matang seperti ini demi memastikan UMNO terus kekal menjadi pilihan rakyat dari dulu, kini dan selamanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan dibuat ahli Pemuda itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Perintah untuk menyiasat (OTI) akan dimohon daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk teruskan siasatan," katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo