NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parti politik perlu rangka manifesto inklusif dan realistik, kata pakar ekonomi



Parti politik perlu memastikan manifesto yang bakal diumumkan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat bersifat realistik dan inklusif, kata beberapa pakar ekonomi.

Mereka berkata, parti politik yang bakal dipilih menjadi kerajaan perlu mengambil kira kedudukan semasa kewangan negara sebelum mengumumkan manifesto masing-masing supaya rakyat boleh menilai secara adil manfaat yang bakal diterima daripada hasil undi mereka.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, berkata tidak wajar untuk parti politik sekadar membuat janji untuk memberi bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) atau Bantuan Khas Keluarga Malaysia (BKM) semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, ini kerana bantuan seumpama itu hanyalah bantuan jangka masa pendek dan tidak betul-betul menyelesaikan masalah rakyat.

Oleh itu, Lee menyarankan supaya parti politik merangka manifesto yang mampu menghasilkan penyelesaian jangka panjang seperti melakukan usaha yang mendorong kepada meningkatkan pendapatan rakyat atau menurunkan kos sara hidup.

"Memberi bantuan kewangan seperti BKM yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 memang bagus tetapi usaha menaikkan pendapatan rakyat sepatutnya menjadi keutamaan," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, keadaan fiskal negara semasa tidak menggalakkan kerajaan memberi bantuan seperti BKM kerana negara tidak mampu meneruskan perbelanjaan seperti itu.

"Walaupun BKM kali ini ditambah baik, kerajaan memerlukan RM7.8 bilion dan ini adalah satu perbelanjaan besar.

"Sebab itu saya lagi sokong jika kerajaan membelanjakan ke arah usaha meningkatkan kemahiran yang mana ini akan membuka peluang kepada rakyat menjana pendapatan lebih tinggi," tambahnya.

Sementara itu, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School, menekankan supaya parti politik tidak hanya fokus kepada usaha membantu golongan pendapatan rendah (B40) dan juga merangka pelan untuk menaik taraf kualiti hidup golongan pendapatan sederhana (M40).

Katanya, gelaran sama ada B40, M40, dan T20 hanya menunjukkan pendapatan yang mereka terima, namun ia tidak mengambil kira situasi perbelanjaan mereka.

Ini katanya, tidak menggambarkan situasi kehidupan kumpulan-kumpulan tersebut.

"Sebab itu ada kalanya M40 lebih susah berbanding B40," katanya.

"Ramai daripada golongan ini (M40) menetap di bandar yang mana pendapatan mereka sekadar cukup-cukup makan dengan perbelanjaan harian.”

Oleh itu, Razman mempunyai pandangan sama seperti Lee supaya parti politik yang bakal dilantik menjadi kerajaan mencari jalan untuk selesaikan isu kos sara hidup yang terus meningkat.

"M40 tidak memerlukan bantuan kewangan seperti mana kerajaan beri kepada B40. Mereka perlu bantuan dari aspek lain seperti insentif.

"Malah, pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini adalah antara contoh terbaik bagaimana kerajaan boleh bantu kumpulan ini," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz telah membentangkan Bajet 2023 yang mana ia tidak sempat dibahas apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Bagaimanapun, pembentangan Bajet 2023 memberi serba sedikit gambaran mengenai hala tuju dan fokus kerajaan dalam membantu rakyat.

Penganalisis penyelidik di Emir Research Amanda Yeo, berkata walaupun kerajaan cuba membantu setiap segmen masyarakat, ia masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan golongan M40.

Katanya, pembentangan Bajet 2023 kali ini menepati ramalannya, tetapi masih terdapat ruang untuk penambah baikan.

"Kerajaan meluaskan skop manfaat kepada masyarakat dengan turut memasukkan isu baru seperti kenaikan inflasi, sekuriti makanan dan masalah banjir.

"Bagaimanapun, apa yang perlu dilihat ialah sama ada kerajaan mempunyai mekanisme yang sesuai untuk memastikan bantuan-bantuan ini sampai ke kumpulan yang memerlukan," katanya.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo