NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen TItiwangsa, 3 figura politik bakal berentap!


PETALING JAYA:
Tiga nama besar pemimpin politik dijangka bertembung bagi merebut kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Difahamkan, Barisan Nasional (BN) sekali lagi mempertaruhkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di kerusi berkenaan.

Perikatan Nasional (PN) pula bakal meletakkan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi menggantikan Datuk Seri Rina Harun yang disebut-sebut beralih ke Parlimen Sepang.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu ketinggalan dengan hampir pasti mencalonkan Pengarah Komunikasi Amanah yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Khalid yang juga penyandang kerusi Parlimen Shah Alam berkata, tiada keputusan rasmi berhubung kedudukannya di Titiwangsa namun, kemungkinan besar beliau bertanding di kawasan itu.

“Kena tunggu pengumuman, saya di Shah alam sudah tiga penggal dan sudah tiba masanya untuk serah kepada pelapis yang telah sedia dibina. Sama ada saya bertanding di Titiwangsa atau tempat lain, ia ditetapkan nanti.

“Bagaimanapun, ada kemungkinan besar saya di situ (Titiwangsa), pucuk pimpinan (PH) ada minta dan sebut untuk saya ke sana. Saya atau sesiapa sahaja yang pasti calonnya adalah daripada parti Amanah, kerusi itu asalnya milik Amanah.

“Pada PRU14, kita serah kepada Bersatu dan ketika itu Rina yang bertanding dan kita bantu beliau untuk menang. Maka, pada PRU15 kerusi Titiwangsa akan kembali kepada Amanah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada PRU14, Rina memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Ditanya sama ada PH mampu mengekalkan Parlimen Shah Alam selepas beliau meninggalkan kerusi itu, Khalid berkata, pelapisnya sudah ada di kawasan berkenaan dan PH mampu mengekalkan tradisi di situ.

Mengulas pembahagian kerusi, Khalid berkata, rundingan melibatkan Amanah dan parti komponen dalam PH sudah selesai dan kini hanya tinggal kerusi tertentu untuk ‘rakan’ parti yang berminat sertai pakatan berkenaan. – UTUSAN



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo