Paras sungai meningkat dan melimpah di beberapa kawasan rendah berikutan hujan tanpa henti yang melanda sejak awal pagi tadi. - Gambar/ APM |
ALOR SETAR: Penduduk yang tinggal di berhampiran sungai terutama di Langkawi dan Yan diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan paras tiga sungai di daerah itu merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya.
Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, tiga sungai terbabit adalah Sungai Melaka, Bukit Kemboja (8.97 meter) dan Sungai Melaka, Padang Mat Sirat (3.56 meter) masing-masing di Langkawi serta Sungai Gurun di Kampung Perupok di Yan (3.96 meter).
Katanya, bacaan enam sungai lain pula melepasi tahap waspada dengan trend paras air meningkat.
“Sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar (2.05 meter), Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap (27.13 meter), Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap (25.42 meter), Empangan Padang Saga di Langkawi (19.81 meter), Sungai Pendang di Pekan Pendang (2.3 meter) dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya (1.58 meter),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, paras air meningkat berikutan hujan tanpa henti yang melanda sejak awal pagi tadi.
Sehingga kini semua anggota APM di negeri ini terus melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko dan sekiranya air sungai melimpah penduduk akan segera dipindahkan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di dua negeri di utara Semenanjung bermula hari ini sehingga esok.
MetMalaysia melalui makluman di Facebook, negeri yang dijangka berdepan cuaca buruk itu adalah Perlis dan Kedah.
Sumber I Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment