PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dibubarkan.
PH dalam ciapan dalam akaun rasmi di Twitter, berkata fokus kerajaan negeri ditadbir PH tertumpu menangani masalah berkait banjir.
“Majlis Presiden umum Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sah tidak bubar DUN masing-masing.
“Fokus Kerajaan-Kerajaan Negeri PH tertumpu ke arah masalah kian mendesak berkait banjir,” menurut ciapan itu.
Pada 13 Okt, Ketua Menteri Pulang Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau memilih untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, DAP Pulau Pinang hanya menyuarakan “hujah terbaik” mengenai perkara itu kepada pucuk pimpinan parti ketika mesyuarat pada Selasa lalu.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menyakinkan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa isu ini ke mesyuarat pemimpin Pakatan Harapan yang berlangsung pada 12 Okt.
Semalam, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata PH tidak seharusnya membebankan rakyat dengan mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri berasingan memandangkan Putrajaya telah memaksa negara untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti masih belum bersetuju untuk membubarkan DUN Pulau Pinang selepas pengerusinya, Lim Guan Eng menggesa PH untuk terbuka dalam mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri secara serentak.
Terdahulu, FMT melaporkan DAP dan PKR berbeza pendapat sama ada tiga negeri dikuasai PH – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – perlu mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya persekutuan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment