PETALING JAYA: Amanah memaklumkan calon Pakatan Harapan (PH), Nik Omar Nik Aziz masih ahlinya meskipun PKR mengumumkan pencalonan anak bekas menteri besar Kelantan itu.
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata, Nik Omar tidak keluar parti di sebalik perkembangan ini.
Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Nik Omar akan bertanding di Perak. Semua calon parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan bertanding sebagai calon gabungan itu, kecuali DAP di Sarawak.
“Beliau masih ahli Amanah,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan Nik Omar akan bertanding atas kuota PKR.
“Nik Omar dipilih tanding atas kuota PKR mewakili PH dan perkara itu sudah dimaklum kepada pimpinan termasuk Amanah,” katanya ketika dihubungi.
Nik Omar memaklumkan soal keahlian parti beliau tidak pun disentuh dalam perbincangan dengan Anwar.
“Kita tak bincang soal parti. Kita bincang calon mewakili PH. Soal keahlian kita tak sentuh masa perbincangan dengan Anwar,” katanya kepada FMT.
Ditanya risiko berdepan kekalahan kerana bertanding di luar negeri kelahirannya, Nik Omar berkata, perkara itu ditentukan oleh pimpinan.
“Saya ambil semangat Anwar tanding kawasan berisiko di Tambun. Beliau tidak pilih kerusi selamat. Kalau jeneral kita pilih kawasan risiko, apalah yang ada pada seorang askar,” katanya.
Status keahlian Nik Omar, yang juga ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, menjadi persoalan apabila pencalonannya diumumkan oleh pemimpin PKR.
Nik Omar bertanding atas logo PKR di kerusi DUN Chempaka, Kelantan pada 2018, tetapi tewas dalam pertembungan tiga penjuru yang menyaksikan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood menang dengan majoriti 3,474 undi.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment