NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nazri Aziz memutuskan untuk tidak bertanding


PETALING JAYA:
Ahli politik Umno yang lantang, Nazri Aziz, yang memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum 19 Nov, akan kembali ke bidang guaman dan menjalankan perniagaan kerana tidak lagi aktif dalam politik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen selama enam penggal yang pernah menyandang beberapa jawatan menteri sejak 30 tahun lalu itu akan terus menjadi ahli Umno. “Ini dalam darah saya,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, beliau akan ke bidang guaman bersama beberapa rakan dan memulakan perniagaan. “30 tahun menjalani kehidupan di mata umum adalah terlalu lama. Sudah tiba masa untuk beralih dan memberi laluan kepada generasi muda mengambil alih.”

Justeru, bekas menteri undang-undang berusia 68 tahun itu berkata, beliau akan turun padang di kawasan Padang Rengas untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan dua calon DUN kerana beliau adalah pengerusi gabungan di sana.

“Pada pilihan raya umum 2018 lalu, BN tidak memenangi kerusi itu secara mutlak memandangkan gabungan undi PAS dan PH adalah lebih tinggi daripada apa yang kita dapat,” katanya.

“Sekarang PAS dan Bersatu berada dalam gabungan, undi PH akan pergi kepada calon PN. Jadi, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jentera lama saya akan melakukan yang terbaik untuk menghalangnya.”

Pada pilihan raya 2018, Nazri memperoleh 10,491 undi manakala pesaing terdekatnya Ejazi Yahaya (PKR) memperoleh 7,943 undi. Mohd Azalan Mohd Radzi (PAS) memperoleh 6,847 undi dan Ahmad Affandi Fairuz (Kita) 1,380 undi.

Januari lalu, Nazri mendedahkan beliau ditawarkan jawatan duta ke Switzerland pada 2019 tetapi menolaknya kerana perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen, seperti yang ditetapkan di Eropah.

Pada Ogos, beliau mengumumkan tidak akan terlibat secara aktif dalam politik untuk memberi laluan kepada ahli politik generasi muda.

Nazri telah menjadi Ahli Parlimen sejak 1995. Antara jawatan menteri yang pernah disandangnya adalah undang-undang, pembangunan usahawan serta pelancongan dan budaya. Beliau juga pernah menjadi timbalan menteri kewangan 1 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai menteri dan ‘backbencher’, Nazri dikenali dengan sikap terus terangnya di Parlimen, kadangkala menyentuh isu sensitif yang melibatkan semua kaum.

Beliau juga lantang mengkritik Dr Mahathir Mohamad ketika bekas perdana menteri itu menyerang kepimpinan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau adalah antara Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tahun lalu, yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), membuka jalan kepada Umno menerajui kerajaan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo