NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muda pertimbang gerak solo - sumber


Muda bercadang untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan perundingan kerusi yang belum tentu walaupun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya.

Sumber dari Muda memberitahu Malaysiakini masih tiada perbincangan rasmi mengenai rundingan kerusi antara Muda dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini, walaupun seorang pemimpin PKR menyatakan sebaliknya.

Timbalan presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz (gambar, bawah) hari ini mengesahkan belum ada mesyuarat rasmi mengenai rundinga kerusi.

Difahamkan setakat ini, satu-satunya kawasan yang disahkan untuk Muda ialah kerusi Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar.

Ini berdasarkan syarat perjanjian dengan PH bahawa kedua-dua parti akan memastikan rundingan tidak menyentuh kepada kerusi disandang (incumbency).

Amira mendedahkan bahawa dua syarat lain adalah untuk menyokong calon perdana menteri PH dan jika Muda ingin mengadakan perbincangan dengan parti ataupun gabungan lain, maka Muda perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH.

Pun begitu, sumber Muda berkata masa semakin suntuk untuk rundingan kerusi.

“Syarat ini tidak akan bermakna kepada kami. Memandangkan kami sudah bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya maka kami harus bergerak ke hadapan untuk membincangkan peruntukan kerusi lain.

“Ini tidak adil kepada kami kerana kami juga memerlukan masa untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

“Kami mula mempertimbangkan untuk bergerak solo kerana kami tidak sabar lagi. Pimpinan mungkin mempunyai jawapan muktamad selepas mesyuarat esok,” kata sumber itu.

Sumber itu mendedahkan Muda hanya meminta enam hingga tujuh kerusi parlimen untuk PRU15 dan ini bukan tuntutan yang tidak munasabah.

Sementara itu, Amira turut meluahkan kekecewaan berhubung rundingan kerusi dan menggesa PH duduk berbincang bersama mereka tidak lama lagi.

"Ada yang tanya, Muda akan tanding kerusi mana?.

"Jujur saya sebut di sini, rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

"Sebagai Pengarah Pilihanraya MUDA, saya telah berhubung dengan pimpinan PH untuk berjumpa dengan Mesyuarat Majlis Presiden PH dan adakan rundingan secara rasmi dalam masa terdekat.

"Namun masih belum ada mesyuarat rasmi ditetapkan,” katanya pada satu kenyataan.

Rundingan dalaman PH belum selesai

Muda membangkitkan isu rundingan kerusi sehari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengumumkan jadual PRU15 esok.

Ini akan disusulu dengan konvensyen PH di Ipoh malam esok, dengan gabungan itu akan mengumumkan calon perdana menteri, pembahagian kerusi, manifesto, dan lagu tema pilihan raya serta maskot.

Bagaimanapun, sumber PH yang bersimpati kepada Muda berkata terdapat sebab kukuh mengapa gabungan itu tidak memulakan rundingan kerusi dengan parti belia itu.

Ini memandangkan gabungan itu belum menyelesaikan rundingan kerusi antara parti komponennya - yang menghalang mereka daripada meneruskan rundingan dengan sekutu PH.

Justeru, sumber itu berharap Muda dapat bersabar, dan memberi jaminan bahawa PH akan dapat menyelesaikan perbincangan dalaman mereka sendiri dalam tempoh dua hari akan datang.

“Jika Muda benar-benar pergi bergerak solo, ia satu kerugian kepada kedua-dua parti, dan Muda akan mengalami kerugian yang lebih besar. Saya harap ini tidak akan berlaku,” kata sumber itu.

Sumber itu juga melihat bahawa permintaan Muda mengenai peruntukan kerusi adalah munasabah dan bukan sesuatu yang terlalu rumit untuk dipertimbangkan.

“Permintaan mereka munasabah dan tidak rumit untuk dipertimbangkan, memandangkan bilangan kerusi tidak banyak.

“Kami tidak berniat untuk melengah-lengahkan atau membuang masa berhubung perkara ini kerana kami benar-benar komited untuk bekerjasama dengan Muda.

"Satu-satunya perkara ialah mengenai kekangan masa dan saya dapat memahami kekecewaan mereka," tambah sumber itu.

Sementara itu, wakil PKR dalam jawatankuasa pilihan raya PH, Nik Nazmi Nik Ahmad ketiak dihubungi membayangkan perkembangan yang lebih cerah.

Ditanya jika rundingan kerusi dengan Muda tidak akan berlangdung, Nik Nazmi memberi jaminan bahawa perbincangan sedang berjalan dan dia baru sahaja bertemu dengan Syed Saddiq pagi tadi.

"Ia bagus," katanya ringkas ketika menjawab soalan bagaimana mesyuarat itu berjalan.

Nik Nazmi memberi jaminan bahawa pengumuman juga akan dibuat tidak lama lagi.

Jika Muda dan PH bersetuju duduk untuk berunding, mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan ketegangan.

Secara khusus, soalan bagaimana untuk mentafsir syarat perjanjian bahawa tidak akan ada pertembungan di kerusi penyandang.

Menurut sumber dari Harapan, satu-satunya kerusi yang dibuka untuk rundingan adalah kerusi yang ditandingi oleh Bersatu, Warisan, atau kerusi yang Harapan kalah pada PRU14.

Bagi Muda, ini termasuk kerusi yang dimenangi oleh PKR yang kemudian wakil rakyatnya berpaling tadah kepada Bersatu - pandangan yang tidak dikongsi PKR.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo