NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mossad upah Melayu-Islam untuk culik aktivis Palestin?


Pasukan perisik Israel, Mossad merekrut tentera upahan Malaysia bagi melaksanakan operasi rahsia menculik seorang lelaki warga Palestin di Kuala Lumpur bulan lalu, menimbulkan persoalan mengenai pengaruh jaringan keselamatan rejim Zionis  dalam menghentikan musuhnya di seluruh dunia.

The New Straits Times melaporkan sekumpulan rakyat Malaysia ditugaskan untuk menculik seorang pereka program komputer Palestin yang dipercayai oleh Israel bekerja untuk Hamas.

Bagaimanapun, operasi itu menemui kegagalan selepas mendapati mereka mungkin telah tersalah orang ketika menculik individu warga Palestin, satu daripada kecuaian yang dilakukan oleh kumpulan yang diupah itu.

"Operasi culik dan bawa lari itu mungkin mengalami masalah komunikasi dengan pengendali mereka dari Israel, dan ahli kumpulan warga Malaysia yang lain menunggu di chalet kerana mereka sudah gagal dan membiarkan warga Palestin yang lain terlepas... padahal, individu itu akan menjadi mangsa tangkapan yang berharga," akhbar harian itu memetik sumber yang mengetahui butiran kejadian itu.

Laporan itu juga berkata kumpulan tersebut menahan dua lelaki Palestin berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Yap Kwan Seng, sebelum menyerang salah seorang daripada mereka, Omar ZM Albelbaisy Raeda yang berusia 31 tahun.

Penculik upahan itu kemudian membawa Omar dan memberi amaran kepada rakannya supaya tidak masuk campur. 

Bagaimanapun, identiti rakan mangsa tersebut tidak didedahkan.

Tidak berlengah, rakan Omar itu segera memaklumkan kepada polis butiran kenderaan kumpulan penculik.

Polis akhirnya berjaya menjejaki mangsa di sebuah chalet di Kuala Langat, Selangor, di mana penculik menjalankan sesi penyiksaan dan soal siasat terhadap tawanan mereka, sambil menerima arahan daripada pengendali mereka dari Israel melalui panggilan video, menurut akhbar harian itu.

Polis menyerbu chalet berkenaan ketika soal siasat sedang dijalankan dan menahan lebih 10 lelaki yang dipercayai diupah oleh Mossad.

Minggu lalu, 11 orang didakwa menculik Omar, di mana mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Mereka adalah Edy Ko'im Said, Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, Raibafie Amdan and Nidarahayu Zainal.

Insiden terbaru itu mengingatkan serangan 2018 ke atas seorang aktivis Palestin terkenal, Fadi al-Batsh, yang ditembak mati di Kuala Lumpur oleh dua penyerang yang dipercayai agen Mossad.

Israel kerap melakukan operasi ketenteraan rahsia terhadap rakyat Palestin di luar negara.

Tahun lalu, laporan memetik televisyen Israel berkata Israel mengarahkan perkhidmatan rahsianya Shin Bet dan Mossad "untuk menghapuskan pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara", menamakan Malaysia selain Iran, Turki dan Qatar sebagai negara yang membantu Hamas.

Ini diikuti dengan dakwaan seorang penganalisis siber Israel bahawa Malaysia telah menjadi "pasukan digital" Hamas dalam serangan siber ke atas kepentingan Israel.

Emily Schrader secara khusus merujuk tanda pagar #IsraelKoyak yang digunakan oleh pengguna media sosial Malaysia ekoran serangan tentera Israel di Gaza tahun lalu, mengatakan terdapat kumpulan ”troll media sosial anti Israel" dari Malaysia yang terlibat dalam "serangan buli siber yang teratur dan tersusun… bagi mengganggu kehidupan rakyat Israel”.

"Lebih membimbangkan, aktivis ini juga mengadakan kempen untuk menggodam akaun media sosial pro-Israel utama (termasuk saya) dan mengunci akaun mereka," tulisnya di Jerusalem Post pada Julai tahun lalu.

"Ini bukan sekadar 'hacktivisme’ atau buli siber, ia adalah peperangan - dan membawa akibat yang mendalam."

Malaysia adalah negara yang lantang mengkritik dasar Zionis di Palestin dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo