NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Mood’ mengundi di Johor masih rendah


DI SELATAN tanah air PAS mempunyai wakil rakyat tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Abdul Aziz Talib satu-satunya wakil rakyat yang mewakili PAS di Johor. 

Beliau dinobatkan sebagai Adun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lepas. Cikgu Aziz yang juga Yang Dipertua PAS Muar sekarang menggalas tugas besar bagi mengangkat suara rakyat. 

Beliau bersama Adun Bukit Kepong, Dato’ Dr Sahruddin Jamal dan Adun Endau Alwiyah Talib bergabung di bawah PERIKATAN NASIONAL(PN) membawa misi besar selepas Johor kembali didominasi Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Oleh itu bagi mendapat gambaran lebih jelas selepas bergelar YB, ikuti temubual wartawan SYAHIRAH SALLEH ketika ditemui baru-baru ini.

Mungkin Cikgu boleh kongsikan bagaimana suasana politik di Muar sekarang?

Suasananya memang berbeza, sebab Johor baru sahaja selepas menghadapi PRN pada Mac lepas. Pada PRN tersebut rakyat Johor memilih Umno dan BN sebagai kerajaan yang dominan.

Pada PRN lalu kita bersama dengan PN. PAS bergabung dengan Bersatu dan Gerakan, membentuk tiga parti di Semenanjung.

Namun, pada PRN tersebut PN belum dapat menguasai Johor biarpun undi diterima PN bertambah. Pemimpin utama PN Pusat ada di Johor iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Pengerusi PN Pusat.

Pada PRN tersebut PN mempunyai tiga Adun termasuk saya. Selain itu Adun Bukit Kepong Dato’ Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor, dan Adun Endau, Alwiyah Talib di Mersing.

Cikgu Aziz bersama Ustaz Abdullah Hussien semasa hadir menyantuni penduduk setempat baru-baru ini. Foto Facebook Hj Abdul Aziz Bin Talib



Kami berada di blok pembangkang bersama dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun di peringkat pusat PN merupakan sebahagian daripada kerajaan, tetapi di Johor, kami di blok pembangkang.

Apabila berada di blok pembangkang, suara juga agak berbeza. Mustahil kita mahu ikut rentak pembangkang sepenuhnya. Itulah anehnya di Johor. Ada setengah keadaan kita tak boleh bersama, ada setengahnya kita boleh bersama.

Bergantung kepada isu. Misalnya isu cuti Hari Jumaat yang dibawa oleh Menteri Besar atas desakan daripada NGO. PH pun ada suarakan mahu perubahan hari cuti, daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.

Majlis korban peringkat PAS Muar


Jadi waktu itu, PH keluarkan dahulu kenyataan (pembangkang) menyokong. Saya tidak boleh sokong, saya berkecuali. Saya tetap bersama-sama dengan cuti sedia ada.

Persidangan DUN pada 22 September pula berkaitan dengan Akta Lompat Parti, walaupun sudah diluluskan di Dewan Rakyat, tetapi DUN belum lagi ada keputusan, tetapi DAP suarakan supaya ditubuh satu jawatankuasa untuk buat penyelarasan untuk penambahbaikan.

Jadi berbahas di antara blok pembangkang dan kerajaan. Dalam keadaan suasana begini, saya juga tidak boleh menyebelahinya juga. Sebab kita di peringkat pusat isu itu diluluskan, dan di peringkat negeri memang akan diluluskan, tak perlu tubuh jawatankuasa lagi, dari segi teknikal dan sebagainya.

Tetapi dia (DAP) mahu juga, apa matlamat mereka kita tidak tahu, tetapi apabila buat kenyataan media (pembangkang) saya tak dapat ikut, kena kecuali juga, itu dari segi pengurusan di peringkat Adun sendiri.

Cikgu Aziz aktif membawa suara rakyat Maharani dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Johor. Foto Facebook Hj Abdul Aziz Bin Talib


Memandangkan PRU15 sudah dekat, bagaimana persiapan bagi menghadapinya?

Memandangkan PRU tidak lama lagi, kita tunggu tarikh 5 November ini yang akan diadakan penamaan calon. Johor peringkat DUN tidak bubar, hanya bubar Parlimen.

Kita telah mengadakan mesyuarat PN dan telah membuat keputusan peringkat Parlimen kita akan menyertainya. Pembahagian kerusi sudah selesai.

Pembahagian kerusi antara PAS, Bersatu dan Gerakan telah diselesaikan, cuma calonnya sahaja belum dapat diumumkan. Kita tunggu 2 atau 3 November ini untuk mengetahui calon yang diketengahkan dari Bersatu, PAS dan Gerakan atas nama PN.

PAS hanya fokus kepada lima atau enam kawasan parlimen sahaja. Sekarang kita tidak macam dahulu. Pada PRU ke-14 PAS masuk semua kawasan Parlimen dan kalah semua 14 Parlimen.

Program kebajikan sentiasa menjadi keutamaan.


Ketika itu saya bertanding di kerusi Parlimen Muar melawan Syed Saddiq dan hilang wang pertaruhan. Ketika itu suasananya memang hendak jatuhkan Barisan Nasional.

Kita bersendirian pada masa itu. Berdasar kepada perkembangan itu jelaslah kita tidak boleh bersendirian. Itu menjadi pengajaran kerana kita bersendirian, tetapi mungkin berbeza dengan negeri lain macam Kedah, Kelantan, Terengganu, walaupun bersendirian PAS masih mampu boleh menang. Jadi sekarang kita bergabung dan menjadi lebih kuat.

Sebenarnya bergabung akan menjadi lebih kuat. Kita boleh tunjukkan kekuatan sebab rakyat akan melihatnya. Rakyat akan melihat kekuatan setiap parti. Kalau parti lemah rakyat tidak akan pilih.

Jadi kalau kita bergabung, memang lebih cantik. Lebih menarik kalau PN dan Umno dapat bersama. Malangnya ada pemimpin parti Melayu terbabit tidak mahu bekerjasama dan mahu bertanding secara solo.

Kita terpaksa melalui gabungan PN bersama Bersatu dan Gerakan, kita teruskan. Di Johor pada PRN lepas kita mula mengambil langkah atur strategi berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Sebelum ini saya ada pengalaman bertembung sehingga enam penjuru. Parti kecil pun masuk. Sekarang mungkin jumlah parti yang bergerak bersendirian kurang selepas mereka bergabung membentuk blok politik.

Daripada pengalaman itu kita membina kekuatan baharu dan meneruskan gerak kerja di bawah PN. Walaupun Gerakan tidak begitu kuat di Johor tetapi mereka ada ahli dan penyokong.



Pada pendapat Cikgu, isu apa yang menjadi tumpuan rakyat Johor sekarang?

Kalau di kawasan Muar masih lagi tertumpu kepada B40, anak-anak muda B40 masih lagi mengharapkan politik dan ekonomi biar stabil.

Mereka pun tidak suka pilihan raya sekarang, mereka mahukan supaya kehidupan stabil dahulu. Lagi pun mereka baru hendak bermula setelah mendapat pekerjaan selepas berdepan dengan wabak Covid-19 dalam tempoh begitu lama.

Tiba-tiba diadakan pilihan raya lagi. Mood rakyat untuk menghadapi pilihan raya tidak berapa, tidak macam dahulu.

Sebelum ini memang bersemangat untuk menghadapi pilihan raya. Lagi pun pada PRN Mac lepas rakyat Johor keluar mengundi hanya sekitar 53 peratus. Ia menggambarkan rakyat tidak berapa suka keluar mengundi.

Kemudian pilihan raya lagi di peringkat Parlimen pula. Saya rasa kalau tidak betul-betul memaksa rakyat keluar (mengundi), peratusan keluar mengundi dibimbangi masih rendah.

Program Cuti Motor Percuma anjuran Dewan Pemuda PAS Muar dan team ARC di sekitar Parit Jawa



Jadi apabila peratusan mengundi rendah, keuntungan akan kembali kepada BN semula. Jadi itulah kejayaan BN apabila mengadakan pilihan raya ketika mood rakyat masih rendah.

Situasi itu saya dapat kesan apabila ramai rakyat datang meminta bantuan di Pusat Khidmat DUN Maharani, rakyat sedang dalam kesusahan dan tidak stabil. 

Walaupun saya bukan Adun kerajaan, peruntukan pun tidaklah sebagaimana Adun kerajaan, apabila Mereka minta bantuan, jadi kita hanya boleh beri sekadar yang kita mampu. Rakyat yang datang minta bantuan ramai. Jadi terpaksalah kita hadapi suasananya begitu.

Kita juga buat program santuni pesakit. Boleh dikatakan setiap bulan kita turun sama-sama memberi bantuan. Kita ada program Bantuan Pampers Bulanan kepada peskit-pesakit yang memerlukan bantuan. Ini melalui peruntukan saya sendiri.

Sejak menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat Maharani, Program Bantuan Pampers Bulanan merupakan program kebajikan yang berjalan secara komited oleh Cikgu Aziz.


Orang-orang sakit kita santuni, Alhamdulillah sekurang-kurangnya ahli keluarga mereka tahu. Begitu juga ada anak penduduk kurang berkemampuan datang meminta bantuan kerana mahu masuk universiti.

Itu suasana yang berlaku. Ia belum lagi dikira bencana alam yang berlaku termasuk banjir. Ini memang perkara biasa. Cuma bagaimana kita hendak mengatasi dan menyelesaikan masalah tersebut.

Kalau bantuan pembangunan lain pula. Jalan runtuh tembok runtuh, atap terbang kena ribut, macam-macam lagi bencana alam yang berlaku. 

Baru-baru ini sambutan Deepavali, saya mengunjungi penduduk kaum India. Kita beri sumbangan dua hari sebelum Deepavali.

Menyantuni masyarakat India di Muar.


Setiap tahun kita beri, sebelum jadi wakil rakyat pun kita santuni kaum India yang dianjur PAS Muar. Kita sering anjur program dengan masyarakat India, sebelum ini bersama dengan Dr Mohd Taslim.

Walaupun masyarakat India di Muar hanya ada lebih 700 pengundi, kena santuni juga mereka. Begitu juga dengan masyarakat Cina kita agih kuih bulan. Kita berjumpa dengan masyarakat Cina di kawasan Bandar dan Kampung Parit Jawa. – HARAKAHDAILY 29/10/2022


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo