NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Minta sungai pun mungkin diluluskan... ' Politik terdesak kata Tuan Ibrahim



KUALA LUMPUR:
Cadangan jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi lebih daripada seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji 'mi segera' kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.

"Tawaran bersifat 'mi segera' adalah gambaran kumpulan terdesak. Saya yakin apa saja yang diminta kepada kumpulan terdesak ini, akan dijanjikan.

"Minta sungai pun mungkin diluluskan namun persoalannya apakah ia wajar dan baik untuk masa depan negara," katanya kepada BH.

Beliau mengulas cadangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang mahu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dengan salah satu jawatan itu dilantik dalam kalangan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3 Papar memaklumkan jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan jaminan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilantik, yang menjadi manifesto parti untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Jelajah PH Sabah mengumumkan dua jawatan TPM membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Tuan Ibrahim menegaskan kewujudan jawatan TPM dalam kerajaan tidak perlu disandarkan kepada keperluan bagi pembangunan sesuatu wilayah sebaliknya signifikan kepada seluruh negara.

Katanya, jawatan Perdana Menteri dan TPM mestilah memikirkan kepada pembangunan seluruh negara.

"Tidak perlu wujud jawatan TPM bagi satu wilayah saja. Ia hanya akan menambah kos bagi kerajaan.

"Selama lebih 60 tahun kita merdeka, semua wilayah diberi perhatian sama. Bahkan kita telah wujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa yang penting bukan jawatan, tetapi perancangan pembangunan dan peruntukan kewangan bagi membangunkan negeri yang miskin bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga negeri di Semenanjung.

Katanya, rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan tawaran spontan dibuat, tanpa perancangan yang rapi, kerana pengalaman PH memerintah selama 22 bulan, dengan pelbagai janji dibuat dalam buku khas manifesto tetapi tidak dilaksanakan selepas mereka beroleh kuasa.

Mengulas lanjut, katanya pada masa ini, Perikatan Nasional (PN) tidak membincangkan mengenai jawatan TPM jika parti itu berkuasa nanti. (BH)



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo